Majistret direman akibat terima rasuah


shadow

KUANTAN: Seorang majistret di negeri ini direman lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan tertuduh yang melakukan kesalahan menyeludup rokok.

Majistret berusia 30-an itu ditahan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam, sebelum dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuantan, jam 11.20 pagi tadi.

Perintah reman ke atas tertuduh dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman di Mahkamah Majistret Kuantan, bermula hari ini sehingga Ahad ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika ditemui di perkarangan mahkamah, mengesahkan penahanan dan proses reman suspek, namun enggan mengulas lanjut.

Sementara itu, sumber berkata, suspek pada mulanya dikatakan meminta suapan sejumlah wang daripada tertuduh sebagai balasan untuk tidak menjatuhkan hukuman penjara terhadapnya.

Tertuduh atau pengadu dalam kes berkenaan berdepan dua pertuduhan berhubung kesalahan menyeludup rokok dan dia sudah memberi sejumlah wang kepada suspek sebelum ini.

Difahamkan tertuduh juga sudah memberi sejumlah wang lagi semalam, namun suspek meminta tambahan lagi wang kononnya untuk membantu tertuduh berhubung kes menyeludup rokok yang akan disebut pada bulan depan.

Tinggalkan komen anda