KUALA LUMPUR: Lapan lelaki termasuk, dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di beberapa negeri hari ini bagi menghadapi pertuduhan berkaitan kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).
Pendakwaan mengemukakan dua pertuduhan iaitu memberi sokongan kepada kumpulan LTTE mengikut Seksyen 130J(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.
Juga pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan itu di bawah Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.
Di Mahkamah Sesyen Melaka, dua ADUN itu, G. Saminathan, 34; P. Gunasekaran, 60, dan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah agensi kerajaan negeri Melaka, S. Chandru, 38, didakwa memberi sokongan kepada kumpulan LTTE dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 November 2018.
Saminathan turut didakwa dengan pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan pengganas LTTE di dalam sebuah telefon bimbit di Pejabat Exco Perpaduan Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna, Jabatan Ketua Menteri, Kompleks Seri Negeri pada 10.25 pagi, 10 Oktober lalu.

JURUTEKNIK S. Arivainthan (kanan) dan pemandu teksi V. Balamurugan didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, atas pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.
Di Mahkamah Sesyen Kuala Kangsar, Perak, juruteknik S. Arivainthan, 27, dan pemandu teksi V. Balamurugan, 37, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Disember 2014.

PENGUTIP besi buruk, A. Kalaimughilan ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Selayang. – Foto Aswadi Alias
Di Mahkamah Sesyen Selayang di sini, pengutip besi buruk A. Kalaimughilan, 28, didakwa atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 petang, 10 Oktober lalu.
Antara item itu ialah cakera padat (CD), video cakera padat (VCD), dan pelekat berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

PENGHANTAR surat, S. Teran ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Segamat. – Foto Adi Safri
Di Segamat, Johor, penghantar surat S.Teran, 38, didakwa melakukan kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Oktober lalu.
Seorang guru bahasa Inggeris dan fizik di sebuah sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52, didakwa di Mahkamah Sesyen Sepang, Selangor atas kesalahan serupa di No 21, Jalan 6, Taman Telok, Telok Panglima Garang dalam daerah Kuala Langat pada 2.30 petang, 12 Oktober lalu.
Kesemua mahkamah menetapkan 18 November dan 16 Disember depan untuk sebutan semula kes.
Tiada pengakuan direkodkan daripada semua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
Pengakuan tertuduh akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.
Di bawah SOSMA juga mereka tidak dibenarkan diikat jamin sementara menunggu perbicaraan atau kes selesai. – BERNAMA

SEORANG guru bahasa Inggeris dan fizik di sebuah sekolah menengah di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Sepang. – Foto Ahmad Irham Mohd Noor
Tinggalkan komen anda