Ada ‘VVIP’ jadi pemburu haram, kata ketua polis


shadow

POLIS mengesan orang kenamaan antara yang terlibat dalam kegiatan memburu secara haram di taman negara sehingga memusnahkan khazanah hutan Malaysia.

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador berkata polis mendapat maklumat golongan kenamaan ini memiliki senjata api dan menjadikan kegiatan itu sebagai hobi.

Hamid memberi amaran kesalahan mereka itu serius dan polis tidak teragak-agak merampas senjata api mereka.

“Nasihat saya kepada VVIP ini, jangan menyumbang kepada kepupusan flora dan fauna. 

“Mengapa anda begitu teruja untuk memakan daging haiwan eksotik… mengapa anda bersaing dengan harimau dan beruang,” katanya pada sidang media Ops Khazanah di Ibu Pejabat Polis di Raja Malaysia di Bukit Aman, Kuala Lumpur.

Dalam pada itu, Hamid berkata pihaknya akan mencadangkan kepada kerajaan agar memasukkan hukuman sebat bagi kesalahan perdagangan haram hidupan liar.

“Hukuman yang kita ada sekarang agak lembut, jadi saya telah berbincang dengan Jabatan Perhilitan dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mengenai hukuman yang lebih keras.

“Kami akan mengemukakan cadangan ini kepada kementerian, jika ia dimasukkan dalam undang-undang, ia akan menjadi penghalang yang berkesan.

“Selain itu, saya mencadangkan supaya denda digandakan dan tempoh hukuman penjara dipanjangkan,” katanya.

Menurut Hamid, pihak berkuasa juga mengenal pasti kira-kira sedozen sindiket yang melibatkan orang asing yang secara aktif memburu hidupan liar yang terancam dan menyeludupnya ke luar negara.

Pada 19 Oktober lalu, pihak berkuasa menahan enam lagi warga Kemboja yang terlibat menceroboh dan mencuri hasil hutan di hutan simpan di Hulu Terengganu.

Operasi Bersepadu Khazanah sejak awal September itu sudah menahan 49 orang, termasuk dua rakyat Malaysia dan bakinya warga asing dari Thailand, Bangladesh, Indonesia, Myanmar, dan China.

Menjelaskan mengenai operasi yang lebih intensif, Hamid berkata beliau telah menyediakan pasukan penguatkuasa Jabatan Perhilitan dan Jabatan Perhutanan dengan dua batalion Pasukan Gerakan Am dari Senoi Praaq yang terdiri daripada 1,073 pegawai.

Senoi Praaq adalah sebuah unit polis yang terdiri hampir seluruh anggotanya Orang Asli.

“Setiap pasukan yang pergi ke rondaan akan tinggal di hutan selama sebulan, saya telah memberi mereka Prosedur Operasi Standard bahawa jika pemburu menimbulkan kecederaan atau menyebabkan kematian, mereka dibenarkan melepaskan tembakan.

“Ini adalah hutan kita, saya tidak akan membenarkan orang asing mengancam pegawai penguatkuasa kita,” katanya.

Hamid menambah bahawa pasukan operasi juga akan mendapat bantuan dari polis marin polis dan unit udara Air Wing.

“Saya sudah memberi kelulusan sekiranya pemburu haram bertindak mencederakan atau menyebabkan kematian, mereka (polis) dibenarkan melepaskan tembakan. 

“Saya juga bagi kelulusan untuk membekalkan mereka dengan peralatan yang lebih praktikal. Contohnya, mereka tak perlu bawa beg terlalu berat. Jadi kita ringankan beg tersebut dengan memendekkan bekalan yang dibawa untuk dua minggu.

“Lagi dua minggu kita akan air drop (bekalan) di tempat-tempat yang dikenal pasti untuk bekalan makanan,” katanya.

Hamid menegaskan bahawa operasi adalah penting untuk mengelakkan Pertubuhan Bangsa Bersatu daripada melabel Malaysia sebagai tidak bertanggungjawab.

Tinggalkan komen anda