Ketua sindiket dadah mahu ke Makkah ditahan di KLIA


shadow

KOTA BHARU – Seorang ketua sindiket pengedaran dadah terbesar di Kelantan ditahan dalam Ops Taucan pada Khamis lalu ketika mahu berangkat ke Makkah untuk menunaikan umrah.

Lelaki berusia 37 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan (IPK) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang pada jam 2 petang.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sebelum itu tiga ahli sindiket berusia 19 hingga 53 tahun ditahan di Jalan Lubuk Kiat, Kubang Kuar, Pasir Mas pada jam 12 tengah hari.

Katanya, selepas risikan sejak April lalu polis menyerbu kesemua suspek dalam sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan menemui 700,000 pil kuda dianggarkan seberat 77.61 kilogram (kg) bernilai RM10.5 juta dalam kereta berkenaan.

“Anggota sindiket tersebut dipercayai baru sahaja menerima bekalan dadah dari negara jiran manakala ketua sindiket mereka yang tiada pekerjaan itu pula berada di KLIA kerana dalam perjalanan ke luar negara dan ditahan polis.

“Satu lagi serbuan dilakukan pada jam 5 petang di Jalan Yaakubiah dan polis menahan rakan wanita mereka yang berusia 48 tahun.

“Wanita itu bekerja sebagai pengurup wang yang berperanan ‘mencuci’ wang kegiatan haram mereka,” katanya pada sidang akhbar di IPK Kelantan di sini semalam.

Hadir sama, Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Motosikal dan kenderaan suspek dirampas bagi tujuan siasatan lanjut.
Mohd Khalil berkata, sindiket tersebut adalah yang terbesar di Kelantan dan aktif menjalankan kegiatan pengedaran dadah untuk pasaran di negeri ini sejak setahun lalu.

“Modus operandi digunakan sindiket berkenaan adalah mendapatkan bekalan daripada negara jiran sebelum dijual secara pukal dan runcit.

“Polis turut merampas tujuh kenderaan termasuk tiga motosikal, wang tunai dan barangan kemas bernilai RM476,000. Nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM10.97 juta,” katanya.

Kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda