Tokan dadah Taiping ditahan polis


shadow

TAIPING – Polis menahan seorang tokan dan merampas dadah jenis methamphetamine bernilai RM40,500 dalam satu pemeriksaan di hadapan sebuah rumah di Kampung Pinang, Kamunting di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Osman Mamat berkata, pemeriksaan terhadap lelaki berusia 34 tahun itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping kira-kira jam 2 pagi.

“Hasil pemeriksaan dalam beg cenderahati yang dipegangnya, polis menemui sembilan paket plastik yang mengandungi dadah seberat 270 gram.

“Suspek yang merupakan penganggur dibawa ke IPD Taiping dan hasil ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, siasatan awal mendapati suspek yang mempunyai tujuh kes lampau berkaitan dadah mengakui menjual dadah di sekitar kawasan Kamunting dan Taiping.

“Polis turut menyita sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan motosikal jenis Honda RS150 dengan anggaran nilai keseluruhan RM35,000.

“Suspek direman sehingga 1 September ini untuk membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda