Tiga lelaki serang pemandu lori ditahan


shadow

KULAI – Tiga lelaki dipercayai terlibat dalam kejadian menyerang seorang pemandu lori dan kelindannya di Jalan Kulai-Sedenak di sini pada Sabtu lalu telah diberkas polis petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, semua suspek berusia 29 hingga 33 tahun itu ditahan menerusi dua tangkapan yang dilakukan di sekitar kawasan ini.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kulai telah menahan seorang lelaki di Taman Indahpura di sini kira-kira jam 4 petang.

“Penahanan itu membawa kepada tangkapan dua lagi suspek di sekitar Kulai pada jam 8 malam hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beng Yeow berkata, siasatan awal yang dijalankan juga mendapati suspek mengaku terlibat dengan kejadian serangan bersenjata membabitkan dua mangsa berkenaan.

Katanya, suspek sudah dibawa ke Mahkamah Majistret Kulai untuk permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang pemandu lori berusia 31 tahun menerima tujuh jahitan di telinga kiri selepas diserang sekumpulan lelaki bersenjatakan parang.

Dalam kejadian kira-kira jam 2 pagi itu, mangsa sedang memandu kenderaan untuk pulang ke rumah bersama seorang kelindan berusia 27 tahun.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda