Tiga ahli ‘Geng Tebuk’ maut ditembak polis


shadow

GEORGE TOWN – Tiga lelaki warga asing dipercayai ‘Geng Tebuk’ yang terlibat samun, kes pecah rumah dan kilang, maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di kawasan Perindustrian Ringan Alma, Bukit Mertajam dekat sini, awal pagi ini.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T.Narenasagaran berkata, sepasukan polis Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9) Kontinjen Pulau Pinang membuat rondaan di kawasan itu kira-kira pukul 2.00 pagi sebelum terserempak dengan sebuah kereta Toyota Camry dalam keadaan mencurigakan di tepi jalan di situ.

“Pihak polis cuba menghampiri kereta itu untuk membuat pemeriksaan namun secara tiba-tiba pemandu kenderaan itu bertindak memecut laju sebelum kami mengejarnya dan mengarahkan berhenti dengan menjerit sebagai polis tetapi pemandunya terus memandu laju sehingga terbabas ke bahagian bahu jalan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Beberapa lelaki yang berada dalam kereta itu bertindak keluar dan melepaskan tembakan serta menyerang dengan parang dan bagi mempertahankan diri, polis melepaskan tembakan ke arah mereka sehingga keadaan reda serta tiada ancaman.

Beliau berkata pemeriksaan mendapati tiga lelaki berusia 20 hingga 30 tahun itu telah mati akibat terkena tembakan dan polis menemui sepucuk pistol revolver jenis.38 bersama empat peluru hidup dan dua kelongsong, dua bilah parang, dua buah mesin pencanai, alat pemotong besi, kuku kambing serta mata grinder.

Narenasagaran berkata, polis turut merampas Toyota Camry yang digunakan geng itu untuk kegiatan pecah rumah serta kilang dan setakat ini polis percaya mereka terlibat dengan lebih 15 kes di negeri ini sejak tahun lepas membabitkan kerugian RM620,000.
“Siasatan awal polis mendapati tiga lelaki itu cuba memecah masuk sebuah kilang di kawasan berkenaan ketika terserempak dengan polis sebelum kenderaan mereka memecut laju dan terbabas kira-kira 50 meter dari premis kilang itu serta berlaku kejadian tembak menembak,” katanya.

Katanya, polis menjalankan rondaan di kawasan kilang selepas menerima banyak laporan berhubung kejadian pecah kilang dan siasatan mendapati anggota geng itu mempunyai kepakaran untuk memecah masuk kilang menerusi bumbung sebelum membuka peti besi serta mencuri wang atau barangan berharga yang terdapat di situ.

“Modus operandi mereka ialah dengan memecah masuk kilang menerusi bumbung dan masuk ke kawasan pejabat sebelum melarikan wang tunai serta barangan berharga yang terdapat di situ, siasatan kami mendapati seorang daripada anggota geng itu mempunyai kepakaran untuk membuka peti besi atau peti keselamatan,” katanya.

Polis percaya masih terdapat beberapa orang lagi anggota kumpulan itu yang masih bebas di negeri ini dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.

Beliau enggan mendedahkan negara asal ketiga-tiga lelaki itu sehingga siasatan polis selesai termasuk mendapatkan dokumen kewarganegaraan mereka. – Bernama

Tinggalkan komen anda