Setia bersama ke lokap..


shadow

KEGIATAN pasangan kekasih aktif melakukan ragut di sekitar daerah ini tumpas apabila ditahan polis di Jalan USJ 9/2, Subang Jaya, Jumaat lalu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Risikin Satiman berkata, kedua-dua suspek berusia 20-an dipercayai sudah melakukan 16 jenayah ragut.

“Dalam kejadian terbaru 25 Julai lalu, seorang wanita kerugian RM500 selepas diragut pasangan berkenaan.

“Susulan kejadian itu, satu pasukan khas dibentuk bagi mengesan suspek dan dikesan di tepi jalan sebelum pemeriksaan lanjut dilakukan,” katanya.

Risikin berkata, polis merampas dua topi keledar, satu jaket, tiga motosikal, satu telefon pintar dan satu penutup muka dipercayai digunakan melakukan kegiatan ragut.

“Siasatan awal terhadap kedua-dua suspek mendapati, mereka mengaku melakukan sekurang-kurangnya 16 kegiatan ragut di daerah ini.

“Siasatan lanjut juga dilakukan bagi mengenalpasti jenayah lain dilakukan pasangan berkenaan,” katanya.

Katanya, kedua-dua suspek kini ditahan reman sehingga 28 Ogos depan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung aktiviti mencurigakan boleh menyalurkan kepada polis untuk tindakan segera,” katanya.

-myMetro

Tinggalkan komen anda