Seorang maut, tiga cedera Myvi terbabas


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki maut manakala tiga lagi termasuk seorang pemandu kereta cedera dalam kemalangan di depan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul di sini pagi tadi.

Komander Operasi BBP Sentul, Pegawai Bomba Kanan II S Thirugaya berkata, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan memaklumkan kejadian pada jam 3.44 pagi sebelum sembilan anggota bomba dari BBP Sentul ke lokasi.

Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kereta Perodua Myvi yang terbabas dan menyebabkan seorang penumpang lelaki tersepit manakala seorang wanita patah kaki.

“Sebaik tiba di lokasi didapati kemalangan membabitkan sebuah kereta dinaiki empat penumpang.

“Seorang lelaki yang duduk di bahagian penumpang didapati tersepit dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan selepas berjaya dibawa keluar oleh anggota bomba,” katanya.

Beliau berkata, kesemua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk mendapat rawatan lanjut.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda