Seorang maut, dua cedera babit dua buah motosikal


shadow

PASIR GUDANG – Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal diboncengnya merempuh sebuah motosikal lain dalam satu kejadian di Jalan Rumbia Tanjung Langsat di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Ismail Dollah berkata, dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, mangsa yang berusia 19 tahun dipercayai menaiki motosikal jenis Yamaha R25 bersama seorang rakan lelakinya berusia 20 tahun.

Katanya, kejadian berlaku di kawasan persimpangan tiga dan terdapat sebuah motosikal yang mahu membelok ke kanan.

“Siasatan awal mangsa menaiki motosikal dari Kota Masai menghala ke Jalan Jalan Rumbia 9 telah berlanggar sisi kanan sebuah motosikal lain yang mahu membelok.

“Kemalangan mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata, rakan mangsa dan penunggang motosikal yang dilanggarnya bagaimanapun hanya mengalami kecederaan ringan.

“Kedua-duanya yang mengalami kecederaan ringan telah dibawa ke Hospital Sultan Ismail untuk mendapatkan rawatan,” katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati ia adalah sistem jalan satu lorong dua hala dengan permukaan jalan yang kering.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda