Seorang lagi pegawai polis ditahan dalam Op Blue Devil


shadow

SEREMBAN – Op Blue Devil terus diperhebatkan dengan penahanan seorang pegawai polis berpangkat Superintendan yang positif dadah malam tadi, menjadikan jumlah terkini sebanyak 112 orang anggota termasuk pegawai polis yang dikesan terlibat dengan aktiviti dadah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sehingga malam tadi pihaknya berjaya mengesan sebilangan lagi anggota termasuk pegawai yang disyaki terlibat dadah apabila gagal saringan urin yang dijalankan.

Katanya, jumlah itu bertambah disebabkan operasi berterusan yang dilaksanakan di seluruh negara dalam membasmi gejala tersebut dalam kalangan warga Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita tidak mahu orang sebegini (anggota dan pegawai yang mengambil dadah) ada dalam pasukan PDRM, kerana itu hanya akan mencemarkan imej PDRM.

“Kalau orang awam ambil (dadah) mereka dikenakan tindakan hukuman undang-undang, pegawai dan anggota kita yang terlibat juga akan dikenakan tindakan yang sama seperti orang awam, mereka juga tidak terkecuali,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pejabat Cawangan Narkotik Kastam di Kampung Jijan Tengah, Nilai di sini hari ini.

Pelancaran Op Blue Devil adalah untuk mengesan dan membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota dan pegawai PDRM.

Terdahulu, lebih kurang 3,500 pegawai dan anggota PDRM seluruh negara telah menjalani ujian saringan air kencing untuk mengesan penyalahgunaan dadah dalam kalangan warganya.

Pada 21 Ogos lalu, dilaporkan sebanyak 86 anggota polis didapati positif dadah jenis syabu, amphetamine, opiat, ganja dan ketamin.

Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador melahirkan kebimbangan mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah di negara ini dan menjelaskan jumlah kes telah meningkat dua kali ganda selain turut membabitkan anggota polis.

Menurut Abdul Hamid, jika langkah-langkah tegas tidak diambil untuk membendung gejala dadah, Malaysia boleh menjadi seperti Colombia.

Selain itu, beliau turut mendedahkan sejak Januari lalu, kira-kira 30 anggota serta pegawai PDRM ditahan selepas didapati terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda