Polis rampas rokok, minuman keras disyaki tidak bercukai


shadow

KLUANG – Polis merampas 846 karton rokok pelbagai jenis dan minuman keras dipercayai tidak bercukai dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Muhibbah di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, nilai rampasan keseluruhan berjumlah lebih kurang RM42,582.

Menurutnya, serbuan tersebut dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang sekitar jam 3.45 petang.

“Hasil serbuan dan pemeriksaan, polis berjaya menahan seorang lelaki berumur lingkungan 30 tahun yang disyaki sebagai penghuni rumah ini.

“Pemeriksaan selanjutnya telah berjaya merampas 846 karton rokok pelbagai jenis dan minuman keras yang disyaki tidak bercukai,” katanya di sini hari ini.

Mohd Abduh berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang 10 ganda nilai atau RM100,000 atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-dua sekali.

Katanya, tangkapan akan direman di Mahkamah Majistret Kluang bagi tujuan siasatan lanjut.

“Polis mohon kerjasama daripada masyarakat setempat bagi menyalurkan sebarang bentuk maklumat berhubung kegiatan seumpama ini,” katanya.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda