Polis buru suspek tetak suami isteri


shadow

KUALA KRAI – Polis sedang mengesan lelaki Pakistan yang terlibat kes tetak bekas isteri dan suami di hadapan sebuah bank 1 Ogos lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Deputi Superintendan Wan Fauzi Wan Ishak berkata, suspek berusia 56 tahun yang bekerja sebagai peniaga dipercayai masih berada di sekitar negeri ini.

“Hasil semakan dengan pihak imigresen mendapati tidak ada rekod keluar masuk suspek dikenali sebagai ‘Sultan’ melepasi sempadan.

“Susulan kejadian kita telah ke kediaman suspek di Machang, namun difahamkan lelaki berkenaan tidak pulang sejak kejadian.

“Kita yakin suspek masih berada sekitar Kelantan justeru kita giat mengesannya,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Krai di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek bertindak mencederakan mangsa berusia 48 tahun itu dipercayai cemburu setelah bekas isterinya berkahwin April lalu.

“Justeru kita meminta kerjasama menyalurkan maklumat sekiranya mengetahui lokasi persembunyian suspek,” katanya.

Katanya, kejadian turut menyebabkan suami mangsa cedera pada lengan kiri.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan parah dengan senjata.

Dalam kejadian 11 pagi 1 Ogos lalu, wanita berusia 48 tahun cedera parah pada tangan kiri selepas ditetak bekas suaminya dengan golok.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda