Polis buru suspek kes khianat kebakaran di Bukit Indah


shadow

JOHOR BAHRU – Polis masih menjalankan siasatan untuk mengesan seorang suspek yang dipercayai terlibat dengan insiden kebakaran rumah kedai di Taman Bukit Indah di sini semalam.

Kebakaran berlaku kira-kira jam 5.56 pagi itu turut meragut nyawa dua wanita berusia 60 tahun dan 20-an yang merupakan penghuni premis berkenaan.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian dipercayai mempunyai unsur khianat hasil daripada pemeriksaan kamera litar tertutup (CCTV) di premis berkenaan.

“Rakaman CCTV premis yang diteliti kelihatan seorang lelaki bangsa tidak pasti telah membawa botol plastik dipercayai mengandungi minyak untuk melakukan pembakaran.

ARTIKEL BERKAITAN: Dua maut, tiga cedera dalam kebakaran

“Kita juga dapati terdapat bau minyak di belakang premis yang mana kawasan disyaki kebakaran mula berlaku.

“Sehingga kini, siasatan dan operasi mengesan suspek masih dilakukan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata, pemeriksaan lanjut di lokasi kejadian mendapati arah bawah premis berkenaan adalah lot kedai yang menjual barangan cat dan peralatan perkakasan rumah.

Bagaimanapun katanya, tingkat atas premis tersebut telah dijadikan tempat tinggal dengan kemudahan dua bilik tidur, ruang tamu, dapur dan stor menyimpan cat.

“Kebakaran disyaki berpunca dari luar premis bahagian belakang tingkat bawah yang berpagar (grill). Polis dimaklumkan ia telah dipecah masuk oleh anggota bomba ketika operasi pemadaman api,” katanya

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda