Perjalanan ke tempat kerja berakhir tragedi


shadow

TANAH MERAH – Perjalanan seorang tentera ke tempat kerja bertukar tragedi selepas mangsa maut dalam kemalangan di Kilometer 62 Jalan Kota Bharu-Machang-Jeli di sini hari ini.

Dalam kejadian jam 6.50 pagi itu mangsa, Mohd Khairie Rashidi Mohd Azmi, 39, dari arah Jeli ke Tanah Merah menunggang sendirian, motosikal jenis Yamaha R15.

Mangsa bertembung dengan sebuah pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dari arah bertentangan.

Akibat rempuhan itu, mangsa diseret Toyota Hilux berkenaan sehingga ke kedai proses ayam dan turut melanggar kenderaan Perodua Kelisa yang diparkir di kawasan itu.

Mohd Khairie, dipercayai terpelanting sejauh 50 meter akibat kemalangan itu.

Rempuhan berkenaan juga turut menyebabkan pemilik kedai ayam, Che Mohd Zairulhelmi Mat Zin, 35, yang sedang bekerja ketika itu, cedera dan mengalami patah kaki.

Ketua Polis Daerah Tanah Merah, Deputi Superintendan Suzaimi Mohamad berkata, Toyota Hilux berkenaan ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom).

“Jenazah mangsa dibawa ke Hospital Tanah Merah untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

“Kita siasat kes ini di bawah seksyen 41(1)Akta Pengangkutan Jalan (APJ)1987 dan kes ini masih disiasat untuk tindakan lanjut.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda