Nenek maut dihempap dahan reput


shadow

NIAT seorang wanita warga emas mahu membawa pulang petai untuk dijadikan ulam makan malam berakhir tragedi apabila maut ditimpa dahan pokok rambutan di sebuah kebun di Kampung Baru, Mukim Pulai, Baling.

Dalam kejadian jam 7 petang, Siti Bidah Md Noh berusia dalam lingkungan 60-an bersama suaminya, Zakaria Murad, juga berusia 60-an ke kebun jiran mereka di kampung itu untuk mencari petai.

Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Abd Fatah Abd Rahman berkata, kebun berkenaan terletak dalam jarak satu kilometer dari kediaman mereka di Kampung Seberang Dalam Wang.

“Ketika mangsa sedang memetik petai di kebun itu, tiba tiba sebatang dahan pokok rambutan setinggi enam meter berada tidak jauh dari pokok petai jatuh lalu menimpa mangsa.

“Mangsa yang dihempap dahan reput itu rebah selepas parah di kepala sebelum meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada Harian Metro, hari ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Baling sebelum dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani, untuk bedah siasat.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

-myMetro

Tinggalkan komen anda