‘Jho Low tak guna wang dalam akaun Najib’


shadow

KUALA LUMPUR – Seorang pegawai kanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low menggunakan wang yang dimasukkan ke dalam akaun milik Datuk Seri Najib Razak untuk kegunaannya sendiri.

Penolong Kanan Pesuruhjaya (PKPj) Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM, Rosli Husain, 54, berkata, hasil siasatannya mendapati Jho Low tidak mempunyai sebarang kepentingan untuk wang sebanyak RM170 juta milik SRC International Sdn Bhd dalam tiga akaun peribadi Najib yang dibuka di AmIslamic Bank, dengan nombor akaun berakhir 880, 906 dan 898.

Beliau berkata, demikian ketika pemeriksaan balas oleh peguam Harvinderjit Singh pada hari ke-56 perbicaraan bekas perdana menteri itu yang menghadapi tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC berjumlah RM42 juta.

Harvinderjit: Adakah kamu siasat wang sebanyak RM170 juta yang dikeluarkan daripada SRC dalam bulan Ogos yang kemudian dimasukkan ke dalam Putra Perdana Development (PPD) Sdn Bhd?

Rosli: Ya, saya ada siasat.

Harvinderjit: Wang itu digunakan untuk apa? Adakah untuk pembelian saham PPD dalam Iskandar Holdings Co Ltd, di mana Jho Low mempunyai kepentingan di dalamnya?

Rosli: Sekiranya dia (Jho Low) berpendapat sebegitu, tetapi saya tidak tahu.

Ketika disoal Harvinderjit sekiranya beliau bersetuju bahawa Jho Low yang berusaha untuk memastikan wang sentiasa ada di dalam akaun Najib ketika ‘overdrawn’ (melebihi had penggunaan), saksi itu berkata:”Tidak setuju”.

Saksi pendakwaan ke-57 itu turut menafikan beliau tidak menyiasat dengan lebih mendalam mengenai kepentingan Jho Low dalam penyelewengan wang SRC tersebut dan menegaskan bahawa siasatannya menunjukkan ahli perniagaan itu tiada sebarang kepentingan berhubung wang tersebut.

Harvinderjit: Saya cadangkan log perbualan yang dirujuk dalam perbicaraan ini menunjukkan orang yang menyeleweng duit SRC adalah Jho Low.

Rosli: Saya tidak setuju.

Harvinderjit: Saya cadangkan log perbualan ini menunjukkan bahawa Jho Low tidak mengambil sebarang usaha untuk memaklumkan Najib mengenai transaksi dalam tiga akaun peribadi milik beliau (Najib)?

Rosli: Saya tidak setuju.

Log perbualan tersebut merupakan log yang diekstrak dari peranti Blackberry antara tiga pegawai perhubungan (relationship manager) Ambank Joanna Yu, Krystle Yap dan Daniel Lee dengan Jho Low ketika serbuan dijalankan pihak SPRM di bank tersebut 6 Julai 2015.

Saksi itu turut tidak bersetuju dengan cadangan Harvinderjit bahawa Jho Low mengawal akaun Putra Perdana Construction Sdn Bhd dan pengeluaran wang dari SRC masing-masing melalui ketua pegawai eksekutif serta setiausaha syarikat, Jerome Lee dan Terence Geh.

Beliau juga menegaskan bahawa bukan Jho Low yang bertanggungjawab mengalirkan wang dari akaun syarikat Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M) ke dalam akaun peribadi Najib, melalui bekas ketua pegawai eksekutifnya, Ung Su Ling.

Bagaimanapun, saksi itu berkata sepanjang siasatan beliau tidak menjumpai sebarang komunikasi terus antara Najib, Jho Low dan Nik Faisal Ariff Kamil, bekas ketua pegawai eksekutif SRC.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung.- Bernama

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda