Empat perompak larikan RM120,000


shadow

KUALA SELANGOR – Sebuah syarikat pengurup wang kerugian kira-kira RM120,000 selepas dirompak empat lelaki yang menutup muka menggunakan baju dan bersenjatakan parang panjang dalam kejadian di sebuah pasar raya di Alam Jaya, Jeram semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, kejadian jam 11.22 pagi itu berlaku ketika seorang pengurup wang berusia 20-an baru memulakan operasi perniagaannya.

Bagaimanapun katanya, pengurup wang terbabit yang selesai membuka pintu dan masuk ke kaunter tiba-tiba dikejutkan dengan kedatangan empat lelaki bersenjata.

“Salah seorang suspek melibas cermin kaunter dengan parang sehingga pecah lalu masuk ke dalam kaunter,” katanya dalam satu kenyataan medianya hari ini.

Menurutnya, suspek kemudian bertindak mengambil wang di kaunter dan seterusnya mengarahkan pekerja tersebut membuka peti besi.

“Suspek mengambil wang terbabit termasuk wang negara asing di dalam peti besi dan beredar keluar dari pasar raya menaiki sebuah kereta jenis Toyota Camry menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya.

Beliau berkata, mangsa bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian terbabit.

Tambahnya, kenderaan digunakan suspek ditemui terbakar dalam kebun kelapa sawit di Tok Muda Kapar-Jalan Kuala Selangor, Kapar jam 12.37 tengah hari semalam.

“Hasil semakan polis mendapati kenderaan tersebut disamun di Shah Alam pada 11 Ogos lalu,” katanya.

Susulan itu, Md Asri meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat untuk tampil memberikan kerjasama bagi mengesan suspek yang terlibat.

“Orang ramai boleh menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Selangor di talian 03-32813853.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun berkawan bersenjata,” katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan satu rakaman kamera litar tertutup tular yang menunjukkan empat individu bertopeng bersenjata dipercayai merompak salah satu ruang niaga di sebuah pasar raya di Alam Jaya semalam.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda