Buruh ditahan miliki heroin, syabu


shadow

PENDANG – Seorang pekerja buruh ditahan pihak polis kerana memiliki dadah jenis heroin dan syabu di Kampung Kubur Panjang semalam.

Ketua Polis Daerah Pendang, Deputi Superintendan Arriz Sham Hamezah berkata, lelaki berkenaan yang berusia 28 tahun ditahan kira-kira jam 9 malam ketika berada di bawah lampu tepi jalan Kampung Carok Celu Kubur Panjang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan tubuh badan, pihak polis mendapati lelaki itu mempunyai 12 peket plastik lut sinar pelbagai saiz yang mengandungi serbuk dan ketulan dadah disyaki dadah jenis heroin dengan anggaran berat 64.39g dan satu peket plastik lut sinar berisi hablur jernih disyaki dadah jenis syabu anggaran berat 1.25g.

“Pihak polis turut menjumpai lapan peket plastik lut sinar kosong dan satu bilah gunting di dalam beg milik lelaki berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Arriz Sham berkata, dadah jenis heroin yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,930 dan syabu RM188.

“Lelaki berkenaan turut mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan dadah dan dia juga positif dadah jenis methamphetamine,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 39B dan 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda