Bunuh abang kekasih, tukang rumah ke tali gantung


shadow

KUALA TERENGGANU- Tukang rumah dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu hari ini selepas didapati bersalah membunuh kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Mohd Hafiz Mohamad, 32, dari Kampung Baloh, Manir, di sini yang kelihatan tenang ketika hukuman dijatuhkan terhadapnya.

Abdul Wahab dalam penghakimannya berkata, pihak pembelaan gagal mengemukakan keraguan munasabah menerusi keterangan tertuduh sepanjang prosiding berjalan.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh Muhamad Shukri Husin, 37, di tempat letak kenderaan hadapan Pejabat Agama Kompleks Seri Iman, di sini, 11.39 pagi 16 Oktober 2016.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Fadhli Mahmud manakala tertuduh diwakili peguam, Mazlan Md Zain.

Akhbar sebelum ini melaporkan niat seorang lelaki membuka rahsia perkahwinan kekasih adiknya bagi mengelak adiknya dimadukan bertukar tragedi apabila mati ditikam di kawasan tempat letak kenderaan di Kompleks Seri Iman, di sini.

Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dengan enam kesan tikaman termasuk di leher dan dada kiri dipercayai menggunakan pisau oleh suspek.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda