Tak serik mencuri meskipun ada banyak rekod jenayah


shadow

SERDANG – Seorang lelaki berusia lingkungan 20-an masih tidak serik mencuri walaupun mempunyai 21 rekod jenayah lampau sebelum ini.

Dia yang disyaki terlibat dengan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan antara lapan individu termasuk seorang wanita diberkas di beberapa lokasi berasingan selepas disyaki terlibat dengan pelbagai kes jenayah, semalam.

Hasil penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 50-an itu polis menemui semula dan merampas pelbagai barangan dipercayai diperoleh hasil kegiatan jenayah.

Ketua Polis Daerah Serdang Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, tangkapan pertama dibuat ke atas dua lelaki yang dipercayai terlibat dengan kes samun dan melarikan kenderaan.

Suspek ditahan kira-kira jam 11.30 pagi kurang lima jam selepas melakukan jenayah samun dan pecah rumah.

“Suspek pertama berusia lingkungan 20-an mempunyai 17 rekod lampau membabitkan kes samun, pecah rumah, mencuri dan penyalahgunaan dadah.

“Rakannya pula mempunyai tiga rekod jenayah lampu membabitkan kes samun dan judi. Hasil penahanan kedua-dua suspek, polis temui semula sebuah kereta jenis Perodua Myvi milik mangsa, 33 utas jam tangan, 22 telefon bimbit, rantai dan cincin emas.

“Turut dirampas sebuah kereta Proton Wira milik suspek. Kedua-duanya mengaku terlibat dengan kes samun di Serdang dan pecah rumah di Johor dan Klang,” katanya suspek direman hingga Selasa depan untuk siasatan selanjutnya.

Ismadi berkata, tangkapan kedua dibuat ke atas dua lelaki berusia lingkungan 20-an dan 50-an di sebuah stesen minyak berdekatan Pasar Borong Selangor pada jam 4 petang semalam.

Turut ditahan seorang wanita berusia lingkungan 40-an yang dipercayai terlibat kes samun.

“Dua suspek mempunyai pelbagai rekod lampau bersabit kes dadah dan samun, mereka mengaku dalam soal siasat dijalankan.

“Polis merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipercayai digunakan semasa kejadian samun,” katanya suspek direman hingga Selasa ini.

Menurutnya, tangkapan ketiga dibuat ke atas tiga lelaki berusia lingkungan 20-an dan 30-an di Bandar Kinrara dan Kuala Lumpur pada jam 11.45 pagi.

Katanya, suspek pertama mempunyai 14 rekod kes jenayah lampau manakala dua lagi masing-masing mempunyai tujuh dan 21 rekod jenayah lampau.

Katanya, kesemua suspek dipercayai terlibat dengan kegiatan pecah rumah dan curi kenderaan.

Polis merampas sebuah motosikal jenis Honda EX5, sebuah komputer riba, seutas gelang tangan emas dan beg tangan jenama Charles & Keith.

“Polis percaya suspek terlibat dengan beberapa kes jenayah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur hasil pengakuan dan rampasan barang daripada suspek,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda