Tak sempat jual barang rompakan dah kena cekup


shadow

KEPALA BATAS – Hasrat pasangan suami isteri yang mahu menjual hasil barangan rompakan mereka sebelum ini tidak kesampaian apabila dicekup polis di sebuah inap desa di Kulim, pagi semlam.

Serbuan yang dilakukan jam 11 pagi itu hasil risikan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara selepas menerima laporan daripada pemilik kedai emas Korea dan telefon bimbit di daerah ini yang menjadi mangsa kes pecah kedai sebelum ini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pasangan berusia 26 dan 29 tahun itu ditahan bersama pelbagai barangan yang dipercayai hasil curi selain peralatan memecah masuk kedai.

“Bertindak hasil maklumat yang diperoleh, sepasukan polis menggempur inap desa yang disewa pasangan berkenaan.

“Dalam serbuan tersebut, polis menemui pelbagai barangan curi yang belum dijual pasangan terbabit antaranya pelbagai jenis barangan emas Korea, jam tangan, telefon bimbit, pembesar suara dan peralatan memecah masuk kedai,” katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata, soal siasat ke atas pasangan berkenaan mendapati mereka berdua mengaku melakukan kegiatan pecah kedai terbabit malah juga dikatakan telah melakukan kegiatan itu sejak dua bulan lalu dengan modus operandi memecah pintu premis perniagaan pada waktu malam.

“Hasil yang dicuri itu dibawa ke inap desa di Kulim sebelum mereka mencari pembeli, namun berikutan barangan itu didapati kurang bernilai ia menyebabkan proses jual beli agak perlahan.

“Soal siasat yang dilakukan mendapati kedua-dua suspek mula menyewa inap desa itu sejak April dan sering bertukar bilik untuk menyimpan barangan yang dicuri bagi mengelak perbuatan mereka dikesan,” katanya.

Noorzainy berkata, polis turut merampas sebuah motosikal dan kesemua barangan curi yang dianggarkan bernilai sekitar RM30,000 dirampas untuk siasatan lanjut.

Katanya, pasangan suami isteri itu yang mempunyai rekod lampau berkaitan kes jenayah dan dadah kini direman selama tujuh hari hingga 1 Ogos untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda