Pekebun pukul isteri guna spanar


shadow

TEMERLOH – Seorang pekebun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Temerloh hari ini atas pertuduhan memukul isterinya menggunakan spanar pada 25 Julai lalu.

Tertuduh, Mohd Azim Mohd Asri, 31, dari Kampung Bolok Lanchang membuat pengakuan tersebut di hadapan Hakim Azuar Che Yusof.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Daya, Salwa Asmary Abdul Rahim manakala Mohd Azim tidak diwakili peguam.

Mengikut kertas pertuduhan, kira-kira jam 7 hingga 7.30 pagi di dalam kereta di kawasan semak tepi Sungai Semantan dekat Lanchang, tertuduh telah sengaja menyebabkan kecederaan kepada isterinya dengan menggunakan spanar di bahagian anggota badan seperti lengan, tangan dan kaki mengakibatkan bengkak dan lebam kepada mangsa pada 25 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 326A KK.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana dua daripada seksaan terbabit.

Pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM10,000 dengan syarat tambahan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berhampiran dan dilarang menganggu mangsa.

Tertuduh merayu supaya ikat jaminnya dikurangkan dengan memberi alasan dia hanya menjalankan kerja-kerja bertani dengan pendapatan kasar RM2,000 sebulan selain turut berdepan sebutan semula kes kemalangan di Alor Setar, Kedah bulan depan.

Hakim kemudiannya menetapkan sebutan semula 23 Ogos depan dan tertuduh ditawarkan ikat jamin sebanyak RM8,000 dan seorang penjamin serta tidak menganggu mangsa hingga selesai perbicaraan selain menyediakan dokumen dan lantikan peguam.

-Sinar Harian

Tinggalkan komen anda