Hakim direman dua hari


shadow

PUTRAJAYA: Hakim Mahkamah Sesyen di Kuala Kubu Bharu, Selangor yang ditahan berkaitan kes membebaskan pendatang asing tanpa izin (PATI) petang semalam, direman dua hari mulai hari ini.

Perkara itu disahkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya, menerusi aplikasi WhatsApp di sini, sebentar tadi.

Difahamkan, prosiding mendapatkan perintah tahanan reman itu dijalankan di wad Hospital Putrajaya kerana suspek dikatakan kurang sihat.

Hakim berusia 45 tahun itu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kes tangkapan sebelum ini membabitkan seorang peguam dan timbalan pendakwa raya (DPP) serta beberapa anggota polis.

Siasatan dijalankan berkaitan pembebasan PATI yang ditahan selepas mendapat bayaran.

SPRM turut merampas sejumlah wang ketika tangkapan, namun Latheefa sebelum ini enggan mendedahkan jumlahnya.

Semalam, Mahkamah Majistret Kuala Kubu Bharu membenarkan tempoh reman terhadap seorang peguam dan seorang DPP dilanjutkan dua hari berakhir hari ini.

Ia bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes menuntut bayaran membebaskan PATI.

Sembilan anggota polis antara 11 ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan SPRM pada Rabu lalu kerana dipercayai terbabit kes rasuah dan rompakan membabitkan warga asing di Selangor.

Mereka ditahan atas kesalahan menerima suapan bagi melepaskan sembilan PATI daripada tahanan pihak berkuasa.

Dalam operasi khas itu, SPRM merampas wang tunai RM100,000 dengan pecahan RM17,500 dirampas daripada peguam, manakala RM82,500 dijumpai daripada DPP.

-BH

Tinggalkan komen anda