Solskjaer yakin bangkit di Etihad


shadow

MANCHESTER: Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer mahu pemain-pemainnya terus menanam keyakinan yang mereka mampu bangkit di Etihad walapun ketinggalan 3-1 pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga di tangan Manchester City.

Solskjaer berharap keajaiban yang dicatat di Paris dalam saingan Liga Juara-Juara musim lalu – di mana United bangkit daripada kekalahan 2-0 di laman sendiri – bakal berulang di laman seteru tetangganya pula.

“Kami sudah menunjukkan sebelum ini apabila ketinggalan di laman sendiri dan bangkit meraih kemenangan,” kata Solskjaer.

“Kami perlu menaruh keyakinan tinggi apabila bertandang ke Etihad dan memberikan persembahan terbaik.”

Pep Guardiola mengatasi masalah yang dicetus United sebelum ini dengan meletakkan pemain tengah tambahan, ketika dua penyerangnya Sergio Aguero dan Gabriel Jesus bermula di bangku simpanan.

Taktik Guardiola membuahkan hasil apabila gandingan Bernardo Silva, Riyad Mahrez, Raheem Sterling dan Kevin De Bruyne mudah merobek benteng United yang tempang tanpa kelibat Harry Maguire.

Silva membuka jaringan menerusi rembatan dari luar kotak penalti pada minit ke-17, dan mengumpan bola kepada Mahrez untuk gol kedua pada minit ke-33.

Lima minit kemudian gerakan De Bruyne berakhir dengan jaringan sendiri Andreas Pereira untuk City selesa 3-0 di depan.

“Selepas mereka menjaringkan gol kami gagal menangani situasi,” kata Solskjaer. “Hanya selepas babak kedua kami kembali menguasai permainan dan mendapatkan gol.”

United mengurangkan defisit kekalahan menerusi serangan balas yang disempurnakan Marcus Rashford untuk gol ke-17 dirinya musim ini. – AFP

Tinggalkan komen anda