Solskjaer cari pengganti Rashford


shadow

LIVERPOOL: Pengendali Manchester United Ole Gunnar Solskjaer berkata dia mungkin terpaksa mencari penyelesaian sementara dalam pasaran perpindahan bulan ini bagi mengisi kekosongan ditinggalkan penjaring terbanyak Marcus Rashford untuk sekurang-kurangnya enam minggu.

Pemain England itu mengalami keretakan di bahagian belakang ketika masuk sebagai pemain gantian menentang Wolves dalam aksi Piala FA Rabu lalu.

Bercakap selepas kekalahan 2-0 United di tangan Liverpool di Anfield semalam, Solskjaer berkata ketiadaan Rashford, selepas kecederaan pemain tengah Paul Pogba dan Scott McTominay, mungkin memaksa kelab bertindak sepanjang dua minggu ini sebelum jendela perpindahan ditutup.

United sebelum ini dikaitkan dengan perpindahan pemain tengah Sporting Lisbon Bruno Fernandes.

“Pemain tetap yang kami cari, sasarannya tidak akan berubah kerana kami mempunyai pemain yang cedera bagi tempoh dua atau tiga bulan ini,” kata Solskjaer.

“Mungkin akan ada perjanjian jangka pendek yang perlu kami lakukan.”

Ketiadaan Rashford merencatkan percaturan United untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris dan tiga kejohanan lain.

Pemain 22 tahun itu meledak 19 kali musim ini – kempen terbaik dirinya – dan dijangka hanya akan kembali selepas rehat antarabangsa pada Mac.

United kini menghuni tangga kelima liga, lima mata di belakang Chelsea yang menghuni tangga keempat. – AFP 

Tinggalkan komen anda