Pogba tambah ‘cuti’ sebulan


shadow

LONDON: Paul Pogba akan menjalani pembedahan bagi kecederaan buku lali yang berulang dan dijangka bakal berehat sebulan lagi, menurut pengendali Manchester United, Ole Gunner Solskjaer selepas pasukan itu ditundukkan Arsenal 2-0.

Pogba, membuat penampilan semula selepas hampir tiga bulan berehat pada perlawanan yang menyaksikan kekalahan 2-0 kepada Watford, 10 hari lalu dan berada di bangku simpanan ketika menewaskan Newcastle 4-1 pada empat hari kemudian.

“Kami sudah membuat pemeriksaan dan tiada isu besar. Ia adalah sesuatu yang sudah dikenalpasti dan ditangani. Dia kini dinasihatkan untuk melakukannya secepat mungkin,” kata Solskjaer.

Pogba hanya memulakan enam perlawanan dalam semua kejohanan bagi United pada musim ini dan kehadirannya di posisi tengah sangat dirindui dengan United kini di kedudukan lima Liga Perdana.

Ketiadaannya memburukkan lagi situasi buat Solskjaer apabila Scott McTominay juga diketepikan selama dua bulan, menyebabkan kurang pilihan di bahagian tengah.

“Ia satu tamparan hebat apabila Paul terpaksa keluar ketika Scott juga dalam kecederaan, dia akan berehat untuk beberapa bulan. Paul akan kembali dalam tempoh sebulan,” katanya. – AFP

Tinggalkan komen anda