Lampard, Mourinho kecewa hilang mata


shadow

LONDON: Tottenham dan Chelsea tercicir mata dalam persaingan kelompok empat teratas Liga Perdana Inggeris pada aksi Tahun Baru.

Chelsea kekal di tangga keempat untuk kelayakan Liga Juara-Juara tetapi pengendalinya Frank Lampard nyata kecewa apabila hilang dua mata akibat gol penyamaan lewat permainan untuk seri 1-1 di Brighton.

Kehilangan dua mata itu memberikan peluang buat Spurs kendalian Jose Mourinho menambah tekanan ke atas Chelsea dan Manchester United tetapi disia-siakan dengan kekalahan 1-0 di Southampton yang menyaksikan kapten England Harry Kane mengalami kecederaan hamstring.

Cesar Azpilicueta meletakkan Chelsea di depan seawal minit ke-10 tetapi Brighton bangkit menyamakan kedudukan enam minit sebelum tamat menerusi pemain gantian Alireza Jahanbakhsh.

“Ia mengecewakan atas sebab berbeza,” kata Lampard. “Di babak pertama, kami berpeluang memenangi perlawanan tetapi kami tidak memanfaatkannya.

Pemain Chelsea, Cesar Azpilicueta (kiri) bersaing dengan pemain Brighton & Hove Albion, Martin Montoya di Stadium The American Express Community, Brighton. – Foto Reuters

“Kami memperoleh gol dan menguasai permainan tetapi tidak memastikan kemenangan lebih awal.

“Kami membiarkan mereka kekal dalam saingan. Akhirnya mereka menjaringkan gol menakjubkan dan kami bernasib baik tidak pulang tangan kosong.”

Sementara itu Tottenham bertandang ke Southampton dengan peluang memintas Manchester United dan merapatkan jurang dengan Chelsea kepada tiga mata, malangnya tewas dengan jaringan tunggal Danny Ings pada minit ke-17.

Pemain Southampton, Danny Ings jaringkan gol pertama. – Foto Reuters

“Saya biadap,” kata Mourinho yang dilayangkan kad kuning selepas pertengkaran berhampiran bangku simpanan Southampton.

“Memang patut saya dilayangkan kad kuning. Saya mengeluarkan kata-kata kesat.”

Dalam perlawanan lain, penghuni tangga kedua Leicester menang 3-0 di Newcastle hasil jaringan Ayoze Perez, James Maddison dan Hamza Choudhury.

Watford pula meneruskan rentak cemerlang di bawah pengendali baharu Nigel Pearson dengan menewaskan Wolves 2-1 walaupun terpaksa beraksi 10 orang.

Villa menundukkan Burnley 2-1 manakala Norwich dan Crystal Palace terikat 1-1. – AFP

Tinggalkan komen anda