Jaringan Salah, Mane julang Reds


shadow

LIVERPOOL: Gol sumbangan Mohamed Salah dan Sadio Mane membantu pendahulu Liga Perdana, Liverpool mengembalikan kelebihan 13 mata di puncak liga selepas menewaskan Sheffield United 2-0 di Anfield, awal pagi tadi.

Salah membuka tirai jaringan seawal minit keempat apabila memanfaatkan kesilapan daripada pertahanan Sheffield, George Baldock.

Mane kemudian menggandakan kelebihan tuan rumah menerusi tampanan jarak dekat pada minit ke-64 selepas cubaan pertamanya dapat diselamatkan.

Kemenangan itu turut menyaksikan Liverpool mencipta sejarah apabila mengharungi perlawanan tanpa kalah dalam saingan elit bola sepak Inggeris selama setahun.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu ketika ini mengumpul 58 mata daripada 20 perlawanan manakala Sheffield menghuni tangga kelapan, ketinggalan tujuh mata di belakang pasukan tangga keempat Chelsea.

Pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk (tengah) menanduk bola dalam aksi bertemu Sheffield United di Anfield. – AFP
Pemain Liverpool, Mohamed Salah (kanan) mengawal bola dalam aksi Liga Perdana Inggeris menentang Sheffield United di Anfield. – AFP
Pemain Liverpool, Georginio Wijnaldum (kiri) bersaing dengan pemain Sheffield United, Enda Stevens. – Foto Reuters

Liverpool tampak tidak berada di prestasi terbaik pada perlawanan itu tetapi kualiti yang dimiliki pemain mereka jelas terlalu sukar untuk dikekang Sheffield yang baru dinaikkan pangkat ke Liga Perdana musim ini.

Jaringan pembukaan hadir selepas Baldock gagal membaca dengan tepat hantaran jauh Virgil van Dijk yang membenarkan Andy Robertson memasuki kawasan penalti sebelum melorongkan bola kepada Salah untuk jaringan ke-10 miliknya di Liga Perdana musim ini.

Pelawat berjaya memecah kebuntuan 15 minit kemudian tetapi jaringan John Lundstram dibatalkan susulan ofsaid.

Salah yang juga penyerang berbisa Mesir itu menggegar tiang sejurus permainan babak kedua bermula sebelum mencipta umpanan untuk gol kemenangan Mane. – Reuters

Tinggalkan komen anda