Ia luar biasa – Klopp


shadow

LIVERPOOL: Jurgen Klopp melabel Liverpool sebagai ‘luar biasa’ selepas skuad kendaliannya mengharungi tempoh setahun tanpa kalah dalam kempen Liga Perdana dengan menundukkan Sheffield United 2-0, awal pagi tadi.

Liverpool mengembalikan kelebihan 13 mata di depan pasukan tangga kedua, Leicester menerusi jaringan penyerang Mesir, Mohamed Salah dan pemain sayap Senegal, Sadio Mane di Anfield.

Pendahulu Liga Perdana itu sudah mencatatkan 19 kemenangan daripada 20 perlawanan musim ini dan berada kemuncak prestasi selama 12 bulan dengan kekalahan terakhir dicatat pada 3 Januari lalu kepada Manchester City.

Sejak itu, Reds tidak pernah kalah dalam 37 perlawanan Liga Perdana selain memiliki kelebihan satu perlawanan dan di landasan terbaik untuk menamatkan kemarau kejuaraan elit itu sejak 1990.

“Ia menyatakan banyak perkara yang positif. Sukar untuk saya luahkan dengan kata-kata, ia luar biasa,” kata Klopp. “Saya amat gembira dan amat berbangga dengan pemain. Kami tidak boleh melayan perkara seperti ini dengan sambil lewa.”

Selain melakar kemenangan ke-18 di laman sendiri, Liverpool kini tidak tewas dalam 51 perlawanan di Anfield sejak April 2017 selain turut mencipta pelbagai rekod.

Ia adalah perlawanan tanpa bolos kelima berturut-turut buat Liverpool – kali pertama sejak 2007 dan menjadi pasukan menyempurnakan hantaran terbanyak dalam satu-satu perlawanan di era Liga Perdana.

“Cara kami mengawal Sheffield United adalah luar biasa. Penguasaan yang kami miliki adalah menakjubkan, kami juga amat tenang dan bermain dengan penuh bersemangat. Gol yang kami jaringkan juga amat mengagumkan.

“Ia jelas sesuatu yang bagus (tanpa kalah selama setahun) tetapi sasarannya bukan untuk meneruskannya, tetapi untuk memenangi perlawanan. Kami tidak berfikir mengenai tempoh setahun ini. Kami mempunyai sasaran untuk semusim, bukan sasaran untuk Tahun Baharu!”

Selepas mengharungi tahun mengagumkan pada 2019 yang menyaksikan Liverpool dijulang sebagai juara Eropah dan pemenang Kelab Dunia Kelab, sasaran berikutnya adalah untuk menamatkan dominasi Manchester City selama dua tahun selepas gagal melakukannya musim lalu. – AFP

Tinggalkan komen anda