Hatrik Icardi bawa PSG ke separuh akhir


shadow

PARIS: Mauro Icardi meledak hatrik dalam kemenangan 6-1 Paris Saint-Germain ke atas Saint-Etienne pada aksi suku akhir Piala Liga Perancis.

Icardi membuka jaringan seawal dua minit di Parc des Princes sebelum pertahanan remaja Saint-Etienne Wesley Fofana dibuang padang selepas mengutip kad kuning kedua.

PSG memanfaatkan kelebihan pemain dengan pengendalinya Thomas Tuchel menurunkan kuartet berbisa – Icardi, Neymar, Kylian Mbappe dan Angel Di Maria – di barisan hadapan.

“Saya yakin Icardi dan Mbappe serasi bergandingan,” kata Tuchel.

“Kami bercakap tentang empat penyerang tetapi kami bermain 11 orang. Contohnya Neymar, dia membantu Juan Bernat.

“Itu semangat yang kami mahukan di mana kami perlu tampil berbisa. Kami mempunyai pemain terbaik tetapi kami juga mempunyai pasukan terbaik.”

Neymar menambah jaringan pada minit ke-39, diikuti jaringan sendiri penjaga gol Jessy Moulin seminit sebelum rehat.

Icardi menambah dua gol lagi dalam tempoh lapan minit selepas permainan bersambung di babak kedua sebelum Mbappe melengkapkan kemenangan pada minit ke-67.

Bekas pemain tengah PSG Yohan Cabaye menjaringkan gol tunggal Saint-Etienne selepas menanduk masuk bola sepakan penaltinya yang ditampan Sergio Rico. – AFP

Tinggalkan komen anda