City berlatih 15 minit atasi United


shadow

MANCHESTER: Pengendali Manchester City Pep Guardiola hanya memerlukan tempoh latihan selama 15 minit untuk tampil dengan percaturan taktikal baharu yang menjelmakan kemenangan 3-1 ke atas Manchester United pada aksi separuh akhir pertama Piala Liga, kata perancang City Kevin De Bruyne.

Guardiola tidak menurunkan penyerang biasa pada aksi di Old Trafford itu, memberikan ruang buat De Bruyne dan gandingannya Bernardo Silva naik ke atas dan ia membuahkan hasil dengan City meledak tiga gol sebelum rehat.

“Kami hanya berlatih 15 minit (taktikal itu) di sebelah pagi, itu saja,” kata De Bruyne. “Kami tidak berlatih khusus untuknya tetapi ia bukan perkara baharu – kami pernah melakukannya ke atas pasukan yang gemar bermain satu lawan satu; Cardiff City, United, di Barcelona kami melakukannya pada tahun pertama bersama Pep… sudah beberapa kali.”

Pemain Manchester City, Bernardo Silva (tengah) merembat lalu membolosi gawang Manchester United. – Foto AFP

Walaupun Silva jarang beraksi di posisi berkenaan, dia membuka jaringan pada minit ke-17 sebelum Riyad Mahrez melebarkan kedudukan dan pemain United Andreas Pereira menjaringkan gol sendiri.

United merapatkan jurang menerusi Marcus Rashford pada minit ke-70 untuk terus menghidupkan peluang pada aksi timbal balik nanti.

City, yang tewas dengan serangan balas United ketika kekalahan 2-1 Liga Perdana Inggeris di Stadium Etihad Disember lalu, akan melayan kunjungan tetangga Manchester itu pada 29 Januari ini untuk separuh akhir kedua Piala Liga. – REUTERS

Tinggalkan komen anda