KUANTAN: Tengku Edie Akasya Tengku Abdul Rahman yang juga anak saudara Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ria’atuddin Al Mustafa Billah Shah antara 32 petinju menyertai Kejohanan TDH Muay Thai Superfight 2020, bulan depan.
Penaung kejohanan, Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin berkata, penyertaan anak lelaki Tengku Muda, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah itu diharapkan menjadi antara daya penarik kejohanan berkenaan yang turut menampilkan empat petinju dari Thailand dan seorang petinju dari Afghanistan.
“Beliau dijangka beraksi pada malam pembukaan dan bertemu dengan petinju dari Kelab Muay Thai Gajah Putih.
“Kejohanan yang berlangsung dua hari ini bermula pada 7 dan 8 Februari ini yang bakal dirasmikan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
“Kita juga merekodkan penyertaan teramai membabitkan petinju dari kelab utama di seluruh negara dan lapan perlawanan berlangsung pada setiap malam dengan menggunakan format kalah mati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengarah kejohanan, Zunaidi Mustapha dan pengurus kejohanan, Osmahadzir Osrin.
Sementara itu, Osmahadzir berkata, peminat seni bela diri Muay Thai boleh mendapatkan tiket pada harga promosi RM15 yang mula dijual semalam dan mereka yang terawal membeli tiket berpeluang memenangi hadiah cabutan bertuah ditawarkan penganjur.
“Harga (tiket) RM15 ini harga promosi dan selepas ini, kita akan menjual tiket pada harga RM20.
“Kita turut menyediakan baju-T edisi khas kejohanan yang dijual pada harga promosi RM60 sahaja.
“Mereka yang berminat boleh menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) kejohanan di talian 016-9366055 atau 014-5136319,” katanya.
Tinggalkan komen anda