Aguero pecah rekod Henry


shadow

BIRMINGHAM: Pep Guardiola berkata status legenda Sergio Aguero semakin memuncak selepas menjadi pemain asing Liga Perdana Inggeris paling banyak menjaringkan gol dengan hatriknya ketika Manchester City membelasah Aston Villa 6-1.

Ia mungkin tidak cukup untuk menyelamatkan kempen mempertahankan kejuaraan Liga Perdana selepas ketinggalan 14 mata di belakang pendahulu Liverpool, yang bermain kurang satu perlawanan, tetapi City kini memintas Leicester di tangga kedua untuk terus mengejar skuad kendalian Jurgen Klopp.

Aguero memintas rekod Thierry Henry sebagai pemain bukan Inggeris paling banyak menjaringkan gol Liga Perdana pada 177 gol dan turut mengatasi rekod liga Alan Shearer untuk hatrik dengan ledakan ke-12nya sejak menyertai City dari Atletico Madrid pada tahun 2011.

“Dia seorang legenda dan legenda bangkit malam ini,” kata Guardiola. “Dia salah seorang pemain hebat pernah saya lihat dalam liga ini.

“Untuk menjaringkan sejumlah gol dan hatrik, bermakna anda sudah melakukan perkara yang betul selama bertahun-tahun.

“Anda perlu konsisten sepanjang tempoh itu, jadi ia satu pujian yang cukup tinggi untuknya.”

PEMAIN Manchester City, Sergio Aguero meraikan jaringannya dalam perlawanan menentang Aston Villa pada aksi Liga Perdana Inggeris di Villa Park, Birmingham. – Foto AFP

Guardiola menyenaraikan semula Aguero dalam kesebelasan utama selepas membuat enam pertukaran kepada skuad yang mengatasi Manchester United pada separuh akhir pertama Piala Liga.

Villa mungkin menjadi lawan mereka di Wembley pada 1 Mac selepas pasukan itu mengikat Leicester 1-1 Rabu lalu, tetapi berdasarkan pertembungan ini mungkin sukar untuk menyekat City menjulang piala berkenaan buat kali ketiga berturut-turut.

Riyad Mahrez membuka jaringan pada minit ke-18 dan 24, sebelum Aguero menambah jaringan empat minit kemudian. Gabriel Jesus menjadikan kedudukan 4-0 sebelum berakhir babak pertama dan bersambung permainan, Aguero melengkapkan hatrik pada minit ke-57 dan 81.

“Saya gembira dengan rekod ini. Terima kasih buat rakan sepasukan, mereka membantu saya sepanjang sembilan tahun ini,” kata Aguero.

Gol tunggal Villa hadir menerusi sepakan penalti masa kecederaan Anwar El Ghazi. – AFP

Tinggalkan komen anda