10 bintang bola sepak terhebat dekad ini


shadow

LONDON: Sepanjang sedekad lalu arena bola sepak mencatatkan tiga pemenang Piala Dunia dan enam pemenang Liga Juara-Juara berbeza dengan beberapa perlawanan meninggalkan memori yang tidak dapat dilupakan. 

Ketika 2019 sudah sampai ke penghujungnya Selasa lalu, akhbar Sportsmail menerusi 27 wartawannya mencadangkan 10 nama sebagai pemain terbaik dekad ini. 

Persoalan terbesar adakah Cristiano Ronaldo yang memenangi empat gelaran Eropah dan kejayaan antarabangsa boleh mengetepikan cabaran bintang Argentina Lionel Messi? 

Berikut 10 pemain terbaik dunia 2010-2019:

Lionel Messi. – Foto Reuters

1. Lionel Messi (Barcelona)

Pemain berbakat Argentina ini melalui tempoh yang luar biasa pada dekad ini walaupun tidak mampu lari daripada kegagalannya bersama Argentina di kejohanan besar. 

Melihat kepada angka, Messi meledak lebih 50 gol untuk kelab dan negara dalam sembilan daripada 10 tahun terakhir. Jumlah itu adalah luar biasa. Dia menjaringkan 91 gol pada 2012. Messi tidak sama seperti legenda bola sepak sebelum ini dan bakatnya mungkin dapat dilihat sekali seumur hidup. 

Pada dekad ini, Messi boleh berbangga dengan pencapaian hebatnya apabila meledak 579 gol untuk Barcelona dan Argentina termasuk memenangi 23 trofi kejuaraan. 

Dalam lima liga utama Eropah, tiada pemain yang mampu menandingi jumlah bantuan gol Messi sepanjang 10 tahun ini dengan merakam 136 umpanan. Pemain paling hampir dengannya adalah Mesut Ozil dengan 111 bantuan gol.

Cristiano Ronaldo. – Foto Reuters

2. Cristiano Ronaldo (Real Madrid dan Juventus)

Ini antara keputusan paling sukar. Perdebatan siapa yang lebih hebat antara Ronaldo dan Messi mampu menyebabkan pergaduhan antara penyokong bola sepak dunia. Kedua-duanya adalah sensasi, dua pemain terhebat dalam dunia bola sepak. 

Tetapi salah seorang perlu menjadi pilihan kedua terbaik dan wartawan Sportsmail memilih bintang Portugal ini sebagai naib juara. Dia adalah peledak utama di Real Madrid, memenangi tiga gelaran Liga Juara-Juara untuk menjadikan keseluruhan lima trofi itu sepanjang kariernya sebelum berhijrah ke Juventus yang menyaksikannya meneruskan penguasaan domestik Serie A. 

Dia memainkan peranan penting dalam kejayaan Portugal memenangi Euro 2016 selain meledak lebih 500 gol dalam semua pertandingan pada dekad ini.

Andres Iniesta. – Foto Reuters

3. Andres Iniesta (Barcelona)

Tanpa ragu-ragu, dia adalah pemain tengah paling berbakat dimiliki bola sepak dunia pada dekad ini. Graduasi akademi La Masia itu muncul antara perancang tengah yang hebat dari aspek teknikal bersama Xavi, dan kemampuan gandingan mereka sukar dicapai mana-mana pemain. 

Iniesta muncul wira dengan menjaringkan gol kemenangan pada pentas final Piala Dunia 2010 untuk Sepanyol, selain memenangi Liga Juara-Juara 2011 dan 2015.

Sergio Ramos. – Foto Reuters

4. Sergio Ramos (Real Madrid)

Pertahanan Sepanyol ini menjadi antara pemain yang dibenci penyokong lawan, tetapi pastinya mereka menaruh harapan untuk mendapatkan khidmatnya. Ramai yang menyebut dia sebagai ‘pemain pembuli’ dan ada yang berpendapat dia sebagai pemain yang sanggup melakukan apa jua dalam mencapai kemenangan. 

Tiada siapa dapat menandingi pencapaiannya sepanjang 15 tahun di Bernabeu. Dia adalah tulang belakang Real dan masih belum menunjukkan tanda-tanda kejatuhan prestasi walaupun sudah mencecah usia 33 tahun.

Luka Modric. – Foto Reuters

5. Luka Modric (Tottenham, Real Madrid)

Salah satu pujian terbesar yang sering diberikan peminat ke atas Luka Modric adalah bintang Croatia itu mampu membuat hantaran yang menarik. Seorang jeneral tengah yang rajin dan amat berkebolehan, selain kekal konsisten mahupun buat kelab dan negara. 

Tottenham yang menggunakan khidmatnya sehingga 2012, gagal menyimpannya untuk tempoh yang panjang selepas beberapa kali cuba dipancing gergasi Eropah sebelum dia memilih ke Real. 

Dan tiada siapa mampu menafikan Modric daripada kemenangan anugerah Ballon d’Or 2018, dengan mengetepikan pemain seperti Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Luis Suarez. – Foto Reuters

6. Luis Suarez (Ajax, Liverpool, Barcelona)

Luis Suarez tidak pernah sunyi daripada kontroversi, tetapi ia tidak menghalangnya muncul antara mesin gol yang hebat di depan gawang. Dia adalah ‘pejuang jalanan’, dan Suarez pernah terbabit dengan insiden gigitan, namun yang paling popular adalah ketika bertemu Itali pada Piala Dunia 2014 yang mana dia menggigit bahu Giorgio Chiellini. 

Tetapi kembali pada aksi dalam padang, gandingan dia bersama Lionel Messi tampak begitu serasi. Dia juga merakam lebih daripada 250 gol peringkat kelab sepanjang 10 tahun terakhir.

Sergio Aguero. – Foto Reuters

7. Sergio Aguero (Atletico Madrid, Manchester City)

Liga Perdana Inggeris (EPL) banyak dibanjiri penyerang elit sejak diperkenalkan pada kempen 1992. Antaranya adalah Alan Shearer, Andy Cole, Thierry Henry, Fernando Torres, Wayne Rooney, Robin van Persie dan beberapa penyerang lain lagi. 

Tetapi walau apapun yang terjadi pada masa akan datang, Sergio Aguero pastinya sudah mengukuhkan namanya sebagai penyerang import terhebat pernah dimiliki EPL. Dengan mencetak 174 gol, tiada pemain yang mampu menandingi pencapaiannya pada dekad ini dan dia juga pernah dilabelkan sebagai jelmaan Romario.

Xavi. – Foto Reuters

8. Xavi (Barcelona)

Cuba cari seseorang yang sedia bercakap perkara negatif mengenai Xavi. Dia meninggalkan Nou Camp sebagai pemain terhebat yang pernah menyarung jersi Barcelona dan akan kekal selaku yang terbaik dalam sejarah kelab berkenaan. 

Soal bakat, Xavi secara meritnya muncul yang terbaik. Walaupun sekadar berhijrah ke Al Sadd bagi menamatkan kariernya, ia tidak adil untuk mengetepikannya dalam senarai ini. Ketenangannya dan kemampuannya mencari ruang kosong dan mengawal tempo permainan memastikan dia antara perancang tengah terbaik dunia bagi dekad ini.

Gareth Bale. – Foto Reuters

9. Gareth Bale (Tottenham, Real Madrid)

Penyerang Real Madrid ini menghasilkan gol terhebat pada pentas final Liga Juara-Juara setahun lalu. Ia adalah antara gol terbaik dekad ini. Gol lipatan gunting ketika menentang Liverpool di Kiev itu yang membantu Real menjulang gelaran Liga Juara-Juara ketiga berturut-turut menceritakan kehebatan pemain yang makin hari dibenci penyokong kelab Sepanyol itu. 

Walaupun berdepan prestasi tidak menentu di Madrid, namun dia memainkan beberapa peranan berkesan terutamanya apabila membabitkan aksi genting dan dia juga membantu Wales mara ke kejohanan utama – Euro 2016 – sejak 1958.

Robert Lewandowski. – Foto Reuters

10 Robert Lewandowski (Borussia Dortmund, Bayern Munich)

Mengambil kira statistik Bundesliga, Lewandowski menjaringkan 221 gol dalam 307 perlawanan. Penyudahnya sukar dibendung pada awal dekad ini apabila membantu Borussia Dortmund menjuarai Bundesliga pada 2010 dan 2011. 

Dia sentiasa mencapai rekod baharu di Jerman dan tidak ramai yang dapat melupakan kehebatannya meledak lima gol ketika berdepan Wolfsburg pada September 2015. 

Pada musim ini dia sudah merakam 30 gol dan penyerang Poland itu terus tajam biarpun dimamah usia.

Tinggalkan komen anda