Wolves lakar kejutan, Gladbach, Lazio tersingkir


shadow

PARIS: Diogo Jota keluar daripada bangku simpanan untuk meledak hatrik ketika Wolves menewaskan Besiktas 4-0 di Molineux dan mara ke peringkat kalah mati Liga Europa dengan bergaya, awal pagi tadi.

Kelab Liga Perdana, Wolves tampak bergelut untuk memecah gawang wakil dari Turki itu tetapi kemasukan Jota sebelum sejam perlawanan berlangsung mengubah rentak permainan.

Selepas membuka tirai jaringan tuan rumah pada minit ke-57, Jota meledak gol keduanya pada minit ke-63 sebelum Leander Dendoncker menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-67.

Jota yang juga pemain kelahiran Portugal melengkapkan hatriknya pada minit ke-68.

Begitupun, kemenangan Braga 4-2 ke atas Slovan Bratislava bermakna Wolves terpaksa berpuas hati menamatkan saingan Kumpulan K selaku naik juara dan ketinggalan satu mata di belakang kelab Portugal itu.

Sementara itu, kejutan berlaku dalam Kumpulan J apabila wakil Jerman, Borussia Moenchengladbach tewas 2-1 kepada kelab Turki, Basaksehir pada perlawanan terakhir dengan kelab Itali, AS Roma mengambil mengesahkan kemaraan selepas seri 2-2 dengan Wolfsberger.

Pemain Istanbul Basksehir, Enzo Crivelli (kanan) menumpaskan penjaga gol Borussia Moenchengladbach untuk gol kedua pasukannya pada perlawanan Liga Europa, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Kekalahan menyaksikan Moenchengladbach menamatkan saingan di tangga ketiga dengan lapan mata, ketinggalan satu mata di belakang Roma dengan Basaksehir muncul juara kumpulan.

Turut tersingkir adalah wakil Itali, Lazio selepas tewas 2-0 kepada kelab Perancis, Rennes yang bermakna kelab dari Romania, CFR Cluj yang mengalahkan juara Kumpulan E, Celtic 2-0 di gelanggang sendiri menempatkan diri ke peringkat 32 terakhir.

Kelab Sweden, Malmo FF memenangi aksi tetangga Scandinavia menentang FC Copenhagen 1-0 sekali gus mengungguli Kumpulan B dengan Dynamo Kiev yang mengalami kekalahan mengejutkan 1-0 di laman sendiri kepada Lugano tersingkir.

Dalam Kumpulan G, Rangers terpaksa bergelut apabila jaringan sendiri Borna Barisic menyaksikan Young Boys mengikat mereka 1-1 di Ibrox dengan Porto menjuarai peringkat kumpulan selepas menang 3-2 menewaskan Feyenoord. – Agensi

Pemain Feyenoord, Leroy Fer cuba dihalang pemain FC Porto, Moussa Marega pada aksi saingan Liga Europa, awal pagi tadi. – Foto REUTERS

Tinggalkan komen anda