Watford pecat Sanchez


shadow

LONDON: Watford memecat pengurus keduanya musim ini, Quique Sanchez Flores, hari ini kurang tiga bulan dia mengendalikan kelab tercorot Liga Perdana itu.

Pengendali dari Sepanyol itu hanya mampu mencatat satu kemenangan daripada 10 perlawanan pada penampilan keduanya di Vicarage Road selepas menggantikan Javi Gracia pada September.

“Quique adalah lelaki yang mempunyai integriti yang hebat dan jelas dia mahu mendapatkan impak yang positif tetapi keputusan perlawanan menentukan tindakan kami,” kata Pengerusi dan Ketua Pegawai Eksekutif Watford, Scott Duxbury. 

“Pelantikan ketua jurulatih baharu sudah pun dibuat dengan hampir dua pertiga daripada saingan musim ini yang tinggal, kami akan memberikan semua sokongan yang diperlukan untuk mencipta kejayaan pada bulan-bulan mendatang.”

Kekalahan kepada satu lagi pasukan bergelut, Southampton, semalam menyaksikan Watford memerlukan enam mata untuk mendaki kedudukan selamat di carta liga selepas hanya mengutip lapan mata daripada 14 perlawanan musim ini.

Sanchez kembali ke Watford kurang tiga bulan lalu selepas pernah membimbing pasukan itu pada musim 2015/16 yang menyaksikan Hornets menamatkan saingan Liga Perdana di tangga ke-13 dan mara ke separuh akhir Piala FA.

Begitupun, dia gagal untuk mengulangi kejayaan itu dengan satu-satunya kemenangan yang diraih adalah di Norwich, bulan lalu.

Deretan enam kekalahan daripada 12 perlawanan dalam semua kejohanan musim ini termasuk ketika mereka dimalukan 8-0 oleh Manchester City. – AFP

Tinggalkan komen anda