United juara tetangga Manchester


shadow

MANCHESTER, United Kingdom: Manchester City kini 14 mata di belakang pendahulu Liga Perdana, Liverpool selepas kekalahan 2-1 berdepan tetangga, Manchester United yang dicemari ejekan perkauman terhadap pemain tengah United, Fred dan Jesse Lingard.

City mengeluarkan kenyataan berjanji “tidak akan bertoleransi” terhadap mana-mana penyokong yang bersalah melakukannya ketika Fred juga terkena objek dilemparkan penyokong ketika dia mengambil sepakan sudut.

Di padang, Marcus Rashford dan Anthony Martial menjaringkan gol buat pelawat yang terselamat pada babak akhir selepas Nicolas Otamendi kembali merapatkan jaringan namun memberikan kekalahan liga keempat musim ini buat skuad kendalian Pep Guardiola.

United kekal lapan mata di belakang jiran mereka itu namun mendaki ke kedudukan kelima dan hanya lima mata berbanding pasukan tangga keempat, Chelsea untuk kembali ke Liga Juara-Juara musim depan.

“Tidak bagus untuk melihat City lebih bagus berbanding kami, mereka adalah pasukan terbaik di dunia,” kata pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer. “Tapi hari ini kami mendapat sedikit rasa hormat.”

Keutamaan City ketika ini terbatas untuk memastikan empat tempat teratas dengan jurang terhadap Liverpool bertambah setiap minggu dan pertahanan mereka yang kini gagal mencatat rekod bersih dalam sembilan perlawanan.

“Saya gembira melihat bagaimana pasukan saya bermain. Kami dibolosi lebih banyak daripada biasa kerana serangan balas pantas, tapi berdepan United dengan kepantasan yang mereka ada, bukanlah sesuatu yang mudah untuk mengawalnya,” kata Guardiola.

“Kadangkala anda tidak menang, pasukan lain lebih baik dan anda kalah. Perkara normal ialah tidak menang semua perlawanan liga.” – AFP

Tinggalkan komen anda