LONDON: Jose Mourinho tidak sentiasa ceria sepanjang tempoh dua tahun mengemudi Manchester United tetapi pengendali dari Portugal itu tidak menyimpan dendam terhadap Red Devils.
Malah, Mourinho mengakui dia kini pengurus yang lebih baik menjelang pertemuan pasukannya Tottenham dengan United, awal pagi esok.
Mourinho membelanjakan sekitar AS$513 juta (RM2.14 bilion) di United dan memenangi Liga Europa dan Piala Liga selain menamatkan saingan Liga Perdana di tangga kedua pada musim 2017-18.
Begitupun, situasi itu berubah pada musim keduanya dan ditunjukkan jalan keluar dari Old Trafford pada Disember tahun lalu.
Bekas pengendali Porto, Chelsea, Inter Milan dan Real Madrid berusia 56 tahun itu kembali ke kancah bola sepak Inggeris, dua minggu lalu dengan mengambil alih tugas mengemudi Tottenham susulan pemecatan Mauricio Pochettino.
Selepas meraih tiga kemenangan berturut-turut, dia akan membawa kelab kendaliannya ke Old Trafford dengan keyakinan yang tinggi.
Menjelang pertembungan dengan United, Mourinho tidak dapat lari daripada ditanya mengenai pemecatannya oleh kelab itu terutama skuad yang dibimbing Ole Gunnar Solskjaer berada dalam situasi lebih teruk berbanding ketika dia disisihkan.
“Tidak berminat untuk bercakap mengenainya. Saya melakukan sebaik yang saya mampu,” kata Mourinho. “Sudah tentu saya menganalisanya. Saya bertemu dengan pembantu saya dan apabila kami membuat analisa, ia adalah positif, dengan cara yang membina.
“Saya menghalang mereka daripada menganalisa dan menyalahkan orang lain selain daripada kami. Saya berkata jangan fokus kepada kelab atau pemain jika mahu menjadi lebih baik dan apa yang boleh kami lakukan lebih baik di masa depan.
“Tidak kira kalah atau menang, kamu mempelajari sesuatu, kamu tidak kalah. Kami bagus kerana kami berjaya mencatat kemenangan. Tetapi pada masa sama saya belajar dan merasakan saya adalah jurulatih yang lebih baik sekarang berbanding sebelum ini.
“Perkara yang paling penting adalah apabila kamu dipecat, kami tidak menyalahkan sesiapapun. Kamu cuba untuk bersedia menghadapi masa depan dengan menganalisa apa yang berlaku sebelum ini.”
Di bawah kendalian Mourinho, Tottenham jelas meningkat apabila meledak tiga gol dalam 10 perlawanan tetapi turut melepaskan enam gol. – Reuters
Tinggalkan komen anda