MANCHESTER: Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer memberi amaran kepada anak buahnya bahawa dia boleh dipecat jika Red Devils kalah di tangan Tottenham dan Manchester City dalam saingan Liga Perdana Inggeris minggu ini.
Satu sumber United memberitahu The Sun berkata: “Ole sangat emosi dan memberitahu setiap pemain jika gagal dalam dua perlawanan itu, dia mungkin diarah angkat kaki.
“Ini detik paling menakutkan berdepan Spurs sejak Jose kembali.”
Solskjaer kini menjadi perhatian bookie yang bertaruh dia bakal menjadi mangsa pemecatan seterusnya susulan seri 2-2 menentang Aston Villa, kelmarin.
Keputusan seri itu menyaksikan United sekadar mengutip 18 mata daripada 14 perlawanan iaitu jumlah mata paling kecil sejak 31 tahun lalu pada musim 1988-89.
Jika keputusan itu makin merudum, dipercayai peluang Solskjaer kekal menerajui United musim depan akan tipis.
Menambah kebimbangan Solskjaer apabila Mauricio Pochettino yang dipecat Spurs minggu lalu menyatakan kesediaanya kembali menjadi pengurus jika ada tawaran sesuai.
Pochettino dipecat oleh Tottenham susulan keputusan suram apabila kerap kalah dan suatu ketika terperosok di tangga ke-14 dengan terpisah 11 mata untuk menjamin layak ke Liga Juara-Juara. – Agensi
Tinggalkan komen anda