CLARK: Skuad hoki dalam dewan negara berdepan detik cemas apabila terpaksa menunggu lebih dua jam di Lapangan Terbang Clark, sebentar tadi sebelum akhirnya dijemput ke hotel penginapan.
Insiden itu berlaku di saat pasukan hoki lelaki dan wanita dalam dewan negara terkejar-kejar untuk menguji venue pertandingan malam ini.
Namun, apa yang mengecewakan mereka dilihat merempat di kaki lima sepanjang tempoh terbabit dengan ketua jurulatih hoki dalam dewan wanita negara, Dhaarma Raj Abdullah berkongsi perkara itu di laman Facebook miliknya.
Tidak cukup dengan itu, Dhaarma, 50, ketika dihubungi turut keliru apabila Indonesia yang tiada dalam jadual perlawanan, tiba-tiba muncul di lapangan terbang dengan alasan ‘mencuba nasib’.
Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Indonesia tidak berada dalam senarai rasmi undian kumpulan diumumkan Persekutuan Hoki Asia (AHF).
Negara jiran itu adalah pemenang pingat perak masing-masing bagi kategori lelaki dan wanita pada edisi Kuala Lumpur 2017.
Malaysia pula memenangi emas lelaki dengan pasukan wanita negara sekadar memperoleh gangsa.
“Saya terkejut dan hilang kata-kata. Amat keliru. Mula-mula kami dibiarkan menunggu bas lebih dua jam sebelum ianya tiba, tetapi itu bukanlah isu besar manapun jika dibandingkan dengan kehadiran Indonesia.
“Kedua-dua pasukan lelaki dan wanita Indonesia secara tiba-tiba muncul bersama walaupun tiada dalam jadual asal diumumkan penganjur sebelum ini.
“Dan apabila saya menanyakan pengurus Indonesia, dia kata kami ke sini hanya bagi ‘mencuba nasib dan melihat sama ada penganjur benarkan kami beraksi’,” katanya.
Tinggalkan komen anda