ABU DHABI: Sebut saja Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport, pasti semua mengenali pasukan tersohor itu, apatah lagi, reputasi mereka terus meningkat susulan kejayaan menjulang mahkota perlumbaan Formula Satu (F1) enam kali berturut-turut dalam kategori pengeluar dan pemandu, baru-baru ini.
Namun kejayaan dikecapi Mercedes dan Lewis Hamilton itu tidak hadir dengan mudah tanpa ada jalinan kerjasama erat antara semua pihak terutama syarikat petroleum negara, PETRONAS.
Elemen penting dimaksudkan dalam memacu kejayaan di persada dunia itu adalah kualiti jentera Mercedes, teknologi bendalir PETRONAS, pemandu yang hebat (Hamilton dan Valtteri Bottas) serta kerjasama antara pasukan diterajui Prinsipal pasukan Mercedes-AMG PETRONAS Motorsport dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Toto Wolff.
Pengurus Besar Kanan Komunikasi Strategik Kumpulan PETRONAS, Zahariah Abdul Rahman atau Liza mengakui kerjasama PETRONAS bersama Mercedes turut memartabatkan nama negara ke peringkat antarabangsa.

“Kami adalah pasukan pertama dalam sejarah F1 memenangi kejuaraan dunia berganda enam tahun berturut-turut . Kejayaan ini membuktikan kerberkesanan PETRONAS sebagai syarikat tenaga Malaysia yang mampu bersaing di persada dunia melalui teknologi bendalir (Fluid Technology Solutions) yang diformulasi dalam produk kami – Syntium, Primax dan Tutela.
“Kejayaan PETRONAS di F1 turut membuka peluang untuk PETRONAS Lubricants International (PLI) mengukuhkan perdagangan bersama pengeluar enjin tulen (OEM) di dalam dan luar negara, sekaligus membolehkan pengguna jalan raya harian menikmati produk yang dirumus khas dari teknologi F1,” jelas Zahariah dalam sesi temu bual bersama Berita Harian sempena saingan penutup tirai di Grand Prix Abu Dhabi, baru-baru ini.
Pencapaian cemerlang pasukan Silver Arrows itu harus dilihat dari semua sudut memandangkan banyak pihak bekerja di belakang tabir termasuklah saintis, penyelidik, jurutera dan jurujual sekali gus golongan ini tidak sewajarnya dilupakan.
Kejayaan PETRONAS dalam F1 bersama Mercedes turut diterjemahkan ke dalam Kejuaraan Motosikal Dunia, MotoGP malah turut melonjakkan nama pasukan Malaysia pertama, PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team yang berjaya merebut gelaran Best Independent Team dan Rookie of the Year (pelumba baru terbaik) melalui Fabio Quartararo.
“Semuanya terhasil dengan perancangan yang teliti serta kerjasama yang baik,” kata Zahariah yang menerima biasiswa daripada PETRONAS selepas tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di Amerika Syarikat, dan pernah berkhidmat di Kewangan Usaha Bersatu Berhad (KUBB) pada lewat 80-an sebelum dipanggil berkhidmat bersama PETRONAS.
Bagaimanapun, PETRONAS yang membabitkan diri dalam F1 sejak 1995 bersama pasukan Red Bull Sauber PETRONAS F1, BMW Sauber F1 (2005) dan Mercedes sejak 2010, sedar mereka tidak boleh selesa dengan pencapaian ini malah terus dahagakan kejayaan pada masa akan datang, sesuai dengan ‘mindset’ – Always Strive for Excellence.
Menyingkap sejenak pembabitan wanita, Zahariah menjelaskan golongan berkenaan sudah lama menjadi tulang belakang dalam sukan permotoran Malaysia. Antara pencapaian yang boleh dibanggakan adalah Stephanie Travers dari Zimbabwe yang merupakan Jurutera Bendalir Trek PETRONAS (PETRONAS Trackside Fluid Engineer) selepas mengetepikan 7,000 pemohon lain dari seluruh dunia tahun lalu.
Dari perspektif PETRONAS Malaysia, Allahyarhamah Norhayati Md Ali pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Bahagian Permotoran PETRONAS pada peringkat awal dan sehinggalah jawatan penting itu ketika ini disandang Zahariah.
“Dipendekkan cerita, PETRONAS sememangnya mengalakkan staf wanita untuk memainkan peranan penting di dalam organisasi, ini termasuklah sukan permotoran,” kata Zahariah yang memiliki pengalaman selama 20 tahun dalam bidang korporat minyak dan gas.
Menyentuh mengenai adakah Malaysia mampu melahirkan pelumba F1 seperti Thailand dalam masa terdekat, Zahariah berkata fokus pada ketika ini adalah lebih kepada pasukan bagi membangunkan teknologi PETRONAS, bukan pelumba.
Beliau turut menyifatkan laluan pelumba F1 adalah lebih sukar berbanding pelumba MotoGP kerana seseorang pemandu perlu memulakan pembabitan mereka pada awal usia dalam lingkungan empat hingga enam tahun seperti di Eropah.
Namun tidak bermakna PETRONAS tidak pernah mencuba kerana mereka pernah menaja beberapa pemandu kereta seperti Jazeman Jaafar dan Nabil Jeffri pernah beraksi di Kejuaraan Formula 3 Eropah.
“Ketika ini, fokus PETRONAS adalah dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan bakat seperti saintis dan jurutera. Jalinan kerjasama bersama Mercedes memberi PETRONAS platform untuk mengecapi objektif ini. Perjalanan pemandu tidak mudah dan sebab itulah saya rasakan untuk menaja pemandu bukannya agenda kami dalam masa terdekat,” katanya.
Tinggalkan komen anda