Messi julang Ballon d’Or kali keenam


shadow

PARIS: Lionel Messi berkata beliau berharap prestasinya tidak suram seiring dengan peningkatan umurnya selepas menjulang anugerah Ballon d’Or buat kali keenam ketika umurnya mencecah 32 tahun di Paris, awal pagi ini, sementara bintang Piala Dunia Amerika Syarikat, Megan Rapinoe membawa pulang anugerah kategori wanita.

Rapinoe bagaimanapun tidak berada di Chatelet Theatre di ibu negara Perancis itu, apabila tidak sempat kembali ke negara yang menyaksikan beliau mengetuai kemenangan Amerika Syarikat pada Piala Dunia, Julai lalu.

Bagaimanapun, Messi dan isterinya,  Antonella Roccuzzo bersama kedua-dua anak mereka turut hadir pada malam anugerah itu.

Lionel Messi bersama isteri dan anak mereka setiba pada majlis anugerah Ballon d’Or. – Foto AFP

Megan Rapinoe memberi ucapan di layar apabila membawa pulang anugerah Ballon d’Or kategori wanita. – Foto REUTERS

Messi memenangi anugerah Ballon d’Or buat kali pertama sejak 2015 dan sudah mengumpul enam trofi setakat ini apabila rekodnya bertambah satu lagi di hadapan musuh tradisi, Cristiano Ronaldo.

“Sudah 10 tahun sejak saya memenangi Ballon d’Or yang pertama buat saya di sini di Paris dan saya ingat lagi hadir ke sini bersama tiga lagi abang saya, saya berumur 22 tahun ketika itu dan ia masih sukar dipercayai apa yang saya lalui ketika itu,” kata Messi selepas menerima anugerah daripada pemenang tahun lalu, Luka Modric di pentas.

“Saya berharap saya mempunyai beberapa tahun lagi untuk menikmati permainan bola sepak. Saya sedar usia saya ketika ini dan saat ini adalah lebih menggembirakan kerana saya semakin hampir untuk bersara dan ia adalah sukar.

Lionel Messi bersama enam anugerah Ballon d’Or yang dimenanginya. – Foto REUTERS

“Jika semuanya baik, saya mempunyai beberapa tahun lagi tetapi buat masa ini saya rasakan masa berlalu begitu pantas dan semuanya berlaku sangat pantas.

“Saya berharap dapat terus seronok menikmati bola sepak saya, keluarga saya, berdepan dengan musuh saya dan semua yang saya ada dalam kehidupan saya.”

Pemain nombor 10 Barcelona itu menjulang anugerah utama pada tahun ini yang dianjurkan majalah France Football dan diundi barisan wartawan daripada seluruh dunia, bagi menewaskan pertahanan Liverpool, Virgil van Dijk, sementara Ronaldo di kedudukan ketiga.

Anugerah kali ini juga menyaksikan Ronaldo buat kali pertama sejak 2010 tidak diundi menduduki dua tempat terbaik. – AFP

Tinggalkan komen anda