PARIS: Dimitri Payet menyempurnakan penalti dan mencipta umpanan bagi membantu Marseille meraih kemenangan 2-0 ke atas Angers yang membawa kelab itu hanya dua mata di belakang pendahulu Ligue 1, Paris St Germain (PSG), awal pagi tadi.
Jaringan Morgan Sanson dan penalti Payet menyaksikan Marseille ketika ini mengumpul 31 mata daripada 16 perlawanan tetapi penyandang juara PSG memiliki kelebihan beraksi kurang dua perlawanan.
Angers yang dipalit kekalahan kedua berturut-turut jatuh ke tangga kelima dengan 24 mata.
“Kami menyerahkan penguasaan bola kepada mereka dan menunggu mereka melakukan kesilapan. Ia berhasil,” kata pengendali Marseille, Andre Villas-Boas. “Kami mahu kekal utuh, tidak memberikan mereka ruang dan melancarkan serangan terhadap mereka ketika rehat.”

Beraksi di gelanggang lawan, Marseille meledak gol pertama pada minit ke-17 apabila rembatan Sanson mengatasi Ludovic Butelle berpunca daripada sepakan percuma Payet.
Payet menggandakan kelebihan itu empat minit sebelum rehat apabila menyempurnakan penalti selepas Hiroki Sakai dijatuhkan oleh Romain Thomas.
Sementara itu, Bordeaux mendaki ke tangga ketiga Ligue 1 dengan ledakan hatrik Josh Maja dan dua gol Otavio menyaksikan mereka menewaskan Nimes 6-0.
Turut meraih kemenangan besar ialah Brest yang menewaskan Strasbourg 5-0 di Stade Francis-le Ble manakala Lyon tewas 1-0 kepada Lille. – Reuters
Tinggalkan komen anda