Man City terus hambat Liverpool


shadow

BURNLEY: Gabriel Jesus meledak dua gol ketika Manchester City membuktikan mereka masih ‘bernafsu’ dalam pemburuan kejuaraan Liga Perdana dengan kemenangan 4-1 terhadap Burnley, awal pagi tadi.

Kemenangan yang diraih penyandang juara itu menyaksikan jurang mereka dengan pendahulu, Liverpool dicantas kepada hanya lapan mata.

Selepas tampak bergelut untuk mengulangi standard selaku penyandang juara di awal musim, persembahan skuad kendalian Pep Guardiola di Turf Moor seakan memberi gambaran prestasi mereka kembali memuncak.

Penyerang Brazil, Jesus memanfaatkan sepenuhnya ketiadaan Sergio Aguero yang cedera apabila menyumbat gol dalam kedua-dua babak permainan yang turut menamatkan kemarau jaringannya dalam lapan perlawanan.

RIYAD Mahrez meraikan jaringan gol bersama David Silva pada perlawanan Liga Perdana. – Foto AFP

Dua lagi gol dijaringkan Rodrigo dan Riyad Mahrez dengan keputusan menyaksikan City merampas kedudukan kedua liga mengatasi Leicester City menerusi perbezaan jaringan.

Pelawat menguasai permainan sejak minit pertama dan selepas jaringan awal Jesus dibatalkan susulan ofsaid, penyerang berusia 22 tahun itu meledak gol pertamanya pada minit ke-24 berpunca hantaran David Silva.

Selepas berjaya mengawal gawangnya daripada terus dibolosi berakhir babak pertama, penjaga gol Burnley Nick Pope sekali lagi tewas kepada Jesus pada minit ke-50 berpunca hantaran Bernardo sebelum Rodrigo menjadikan kedudukan 3-0 pada minit ke-68 menerusi rembatan padu.

Dan Mahrez yang masuk selaku pemain gantian melengkapkan jumlah jaringan City pada minit ke-87 sebelum Brady meledak gol sagu hati tuan rumah pada minit ke-89. – AFP

Tinggalkan komen anda