LONDON: Pep Guardiola berfikir adalah ‘gila’ untuk Manchester City memintas kedudukan Liverpool sekali pun kata-katanya mengenai pemburuan kejuaraan Liga Perdana sudah berakhir bagai dilapik dengan sindiran.
City berkunjung ke Turf Moor dengan rekod buruk satu kemenangan dalam lima perlawanan tetapi penyandang tiga kejuaraan musim lalu itu nampak seperti kembali ‘bernafsu’ menerusi kemenangan 4-1 ke atas Burnley.
Penyerang Brazil, Gabriel Jesus menyumbat dua gol pada kedua-dua babak perlawanan dengan Rodri dan Riyad Mahrez turut mencetak nama selaku penjaring sebelum gol lewat Robbie Brady menyaksikan pelawat gagal pulang tanpa bolos.
Keputusan menyaksikan City kembali dibezakan lapan mata dengan pendahulu Liga Perdana, Liverpool sebelum skuad kendalian Jurgen Klopp itu melayan kunjungan Everton pada aksi tetangga Merseyside, awal pagi esok.
Ketika ditanya mengenai persembahan City yang menunjukkan mereka masih belum lagi menyerah kalah dalam pemburuan kejuaraan liga musim ini, Guardiola membalas: “Pemburuan gelaran sudah berakhir. Apa yang saya baca, tiada sesiapapun memberi kami peluang. Ia sudah berakhir.
“Sejujur-jujurnya, dengan jurang yang kami miliki dengan Liverpool, adalah gila untuk memikirkan mengenai kejuaraan. Kami perlu berfikir mengenai perlawanan tetangga, mengharungi satu perlawanan ke satu perlawanan kerana ia bukan hanya Liga Perdana.ADVERTISING
“Banyak kejohanan lain seperti Piala FA, Piala Liga dan Liga Juara-Juara. Apa yang penting adalah mengambil rentak pada perlawanan ini kepada perlawanan berikutnya.”
Guardiola juga gembira dengan persembahan yang ditampilkan anak buahnya dengan City dijadual bertemu seteru tetangga, Manchester United, Sabtu ini di Etihad.
“Saya lega kerana kami menghantar bola lebih banyak berbanding perlawanan sebelumnya,” kata pengendali kelahiran Sepanyol itu. “Tiada penyesalan untuk perlawanan sebelum ini, tetapi satu-satunya perasaan (negatif) adalah kekurangan hantaran.” – Agensi
Tinggalkan komen anda