Ljungberg minta Wenger beri panduan atur kebangkitan


shadow

LONDON: Pengurus sementara Arsenal, Freddie Ljungberg menyatakan dia akan mendapatkan panduan daripada bekas bosnya, Arsene Wenger ketika bersiap menunggu kunjungan Brighton & Hove Albion dalam saingan Liga Perdana Inggeris, pagi Jumaat ini (jam 4.15 pagi waktu Malaysia).

Ljungberg dilantik sebagai pengurus sementara susulan pemecatan Unai Emery minggu lalu dan menerajui Arsenal untuk seri 2-2 di Norwich City, Ahad lalu iaitu keputusan tanpa kemenangan dalam enam perlawanan liga.

Ljungberg antara tonggak pasukan ‘ajaib’ Wenger yang mengharungi musim dengan rekod tanpa kalah yang membawa kepada kejuaraan liga pada 2003-04.

“Saya mahu bercakap dengannya. Saya pernah berhubung dengannya namun saya belum sempat bercakap dengannya kerana agak sibuk kebelakangan ini, namun ia dalam perancangan saya.” kata Ljungberg.

Wenger meninggalkan Arsenal Mei tahun lalu selepas berkhidmat 22 tahun ketika dia menjadi antara pengurus paling berjaya, menang tiga kejuaraan Liga Perdana termasuk tujuh kali muncul juara Piala FA.

Dalam pada itu, Wenger, 70, memaklumkan Sky Sports dia amat berbesar hati membantu Ljungberg.

“Jika dia mempunyai hasrat itu sudah tentu saya sentiasa bersedia membantunya.

“Jiwa saya sentiasa bersama kelab itu dan saya mahu mereka lakukan lebih baik.

“Freddie cukup komited dalam tugasnya… dia mempunyai peluang. Mari bantu dia bekerja bersama ideanya dan menyokongnya.”

Arsenal tewas 1-2 kepada Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Europa dalam stadium yang separuh kosong ketika perlawanan terakhir Emery sebagai pengurus.

“Apabila membabitkan Emirates, penyokong mahu kami menang dan mereka mahu kami beraksi dengan aksi terbaik,” kata Ljungberg. – Reuters

Tinggalkan komen anda