Leicester paling hampir buru Liverpool


shadow

LEICESTER: Kelechi Iheanacho muncul wira buat Leicester, yang ketinggalan di awal permainan, sebelum menewaskan Everton 2-1 bagi merapatkan jurang kepada lapan mata dengan pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool.

Pemain Nigeria itu tidak bermain walau seminit dalam aksi Liga Perdana musim ini namun dimasukkan selepas sejam perlawanan, dan membantu Jamie Vardy membuat gol penyamaan diikuti rembatan gol kemenangan pada masa tambahan.

“Pasukan terbaik mempunyai semangat tinggi,” kata pengendali Leicester, Brendan Rodgers tentang kebangkitan pasukannya. “Ini adalah pasukan yang kuat apabila bersama-sama. Kelechi mempamerkannya dengan sikap yang baik ketika latihan setiap hari.

“Ia adalah tentang memberikan keyakinan kepadanya dan memberi penekanan terhadap peranannya. Selainnya terpulang kepada dia. Saya berpuas hati dengannya.”

Richarlison membuat kejutan untuk pelawat mendahului di Stadium King Power susulan persembahan Everton yang berkemungkinan menyelamatkan jawatan Marco Silva menjelang pertembungan menentang Liverpool Rabu ini.

Silva dilaporkan bakal kehilangan kerja pada awal minggu ini selepas kekalahan mengejut 2-0 di laman sendiri kepada Norwich.

“Satu lagi keputusan yang sukar buat pemain dan kelab. Kami berhak mendapat yang lebih daripada permainan ini,” kata Silva.

“Tidak ada siapa pun boleh bercakap tentang komitmen pemain, sikap atau keinginan pasukan.”  – AFP

Tinggalkan komen anda