LONDON: Jeffrey Schlupp meledak gol tunggal perlawanan ketika Crystal Palace yang beraksi 10 pemain menewaskan Bournemouth 1-0 dalam aksi Liga Perdana, awal pagi tadi.
Palace terpaksa beraksi kurang seorang pemain seawal minit ke-19 apabila Mamadou Sakho diarah keluar padang susulan terjahan tidak sepatutnya ke atas Adam Smith tetapi tuan rumah tetap ceria di Selhurst Park apabila pemain gantian, Schlupp menjaringkan gol pada minit ke-76.
Kemenangan menyaksikan Palace mendaki ke tangga kelima liga selepas mengutip 21 mata dengan syarikat beli belah dalam talian terkemuka, Amazon turut membuat penampilan sulung dengan memaparkan iklan di Liga Perdana.

PENJAGA gol Bournemouth, Aaron Ramsdale gagal menyelamat bola yang ditendang Jeffrey Schlupp pada perlawanan Liga Perdana. – Foto AFP
Sekali pun masalah pengurus Crystal Palace, Roy Hodgson di bahagian pertahanan menggunung apabila Patrick van Aanholt mengalami masalah hamstring, tetapi penggantinya Schlupp menamatkan perlawanan sebagai penjaring gol kemenangan.
“Sentiasa sukar untuk beraksi dengan 10 pemain dan kemudian kami kehilangan pertahanan kanan kami, jadi kami sentiasa berdepan tekanan yang kuat,” kata Hodgson. “Ia kelihatan seperti kami akan berdepan bencana tetapi pemain tidak berfikir seperti itu dengan watak yang mereka tonjolkan.”
Bournemouth yang gagal menggunakan kelebihan beraksi lebih seorang pemain ketika ini sudah tewas empat perlawanan berturut-turut dan mengisi tangga ke-12 liga dengan 16 mata.
“Ia tidak cukup baik,” kata pengendalinya, Eddie Howe. “Mereka amat tersusun dan kami seperti tiada idea. Kami hanya kurang bijak dan tiada percikan.” – Reuters
Tinggalkan komen anda