LIVERPOOL: Pengurus Everton, Marco Silva mencabar anak buahnya meraih kemenangan ke atas Liverpool dalam saingan Liga Perdana Inggeris lewat pagi esok (jam 4.15 pagi waktu Malaysia).
Perlawanan ke-234 itu bakal berlangsung di Anfield dengan mood yang berbeza membabitkan Silva dan pengurus Liverpool, Jurgen Klopp.
Liverpool belum kalah dalam 14 perlawanan liga dengan lapan mata di depan pencabar terdekat, Leicester City yang menghuni di tangga kedua.
Leicester berjaya mengurangkan jurang mata itu minggu lalu hasil mengatasi Everton 2-1.
Everton kini menghuni tangga keempat dari bawah dengan dua mata terpisah dari zon penyingkiran.

Begitupun, Silva mahu anak buahnya memanfaatkan kesempatan itu untuk Everton muncul pasukan pertama meleburkan kekebalan Liverpool sekali gus merakam kemenangan pertama di Anfield sejak 1999.
“Banyak perkara penting untuk menang perlawanan itu,” kata Silva kepada wartawan.
“Ia memang perlawanan sukar. Mereka memiliki musim yang hebat. Liverpool berada di puncak liga. Mereka menewaskan semua pencabar yang bertandang ke sana.
“Rekod pertemuan tidak memihak kami. Everton tidak pernah menang di sana selama 20 tahun, ia tempoh masa yang panjang untuk kelab dan penyokong kami.
“Tapi melihat situasi itu, ia peluang terbaik untuk kami menamatkan kemarau 20 tahun.”
Dalam pada itu, Klopp bersimpati dengan nasib Silva yang diancam pemecatan namun menyatakan ia hanya spekulasi sahaja.
Silva bermula hambar musim ini dengan kekalahan terbaru di tangan Leicester menenggelamkannya ke tangga ke-17 liga.
Klopp dalam pada itu tetap waspada dengan kunjungan Silva namun percaya Everton perlu bersabar berdepan anak buahnya.
“Sudah tentu, saya simpati dengannya kerana saya tahu betapa susahnya menjadi pengurus,” kata Klopp.
“Saya amat bersimpati dengannya, saya tahu sangat perasaannya ketika ini kerana saya tahu sangat tugas seorang pengurus.” – Agensi
Jadual Liga Perdana Inggeris
ESOK
Chelsea mln Aston Villa 3.30 pg
Leicester mln Watford 3.30 pg
Southampton mln Norwich 3.30 pg
Wolves mln West Ham 3.30 pg
Man United mln Tottenham 3.30 pg
Liverpool mln Everton 4.15 pg
JUMAAT
Sheffield mln Newcastle 3.30 pg
Arsenal mln Brighton 4.15 pg
Tinggalkan komen anda